KPDN pertimbang guna nombor kumpulan atasi ketirisan minyak masak paket
Oleh Zuliaty Zulkiffli - November 8, 2024 @ 3:40pm [email protected]
Fuziah hadir pada operasi Kita Gempur Zon Utara di Alor Setar. - Foto NSTP/Wan Nabil Nasir
ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkemungkinan bercadang menggunakan nombor kumpulan (batch number) pada minyak masak paket sebagai antara mekanisme baharu mengatasi ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi itu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh, berkata pihaknya mendapati berlaku ketirisan pada jenama minyak masak paket tertentu dalam pemeriksaan operasi Kita Gempur di kilang pembungkusan minyak masak di Pulau Pinang, semalam.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya sedang mengkaji kaedah mengesan ketirisan selepas ia keluar daripada peruncit, pemborong dan pembungkus.
"Sebab sistem kita, ada daripada (kilang) pembungkusan (minyak masak) kepada pemborong kepada peruncit tetapi apabila kita jumpa jenama itu berada di tempat yang tak sepatutnya misalnya di luar negara, macam mana kita hendak tengok siapa yang salah.
"Jikalau, kita kesan kepada kilang pembungkus minyak masak, mereka (kilang pembungkusan minyak masak) kata mereka pergi pada pemborong," katanya pada sidang media selepas program Kita Gempur Zon Utara di Pantai Johor, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya melihat beberapa mekanisme yang mungkin akan disarankan untuk diguna pakai termasuklah menggunakan nombor kumpulan pada setiap paket minyak masak supaya dapat mengesan ketirisan barangan itu.
Fuziah berkata, penggunaan nombor kumpulan pada minyak masak paket dapat membantu membendung ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi itu.
Bagaimanapun katanya, setakat ini, penggunaan nombor kumpulan pada minyak masak paket itu sekadar cadangan namun belum dilaksanakan lagi.
"Namun, sudah ada syarikat-syarikat yang melaksanakannya, mungkin kita mengambil sebagai amalan terbaik dan mungkin kita akan kaji lebih mendalam dan mungkin ini adalah satu jalan penyelesaian (isu ketirisan)," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, pihaknya meneruskan program Kita Gempur di Kedah pada Jumaat selepas Pulau Pinang dan Perlis, semalam.
Katanya, pihaknya melakukan pemeriksaan di dua kilang memproses ayam di Kepala Batas dan tiga premis runcit sekitar Pantai Johor di daerah ini.
"Dalam serbuan pertama di dua premis yang memproses ayam di sekitar Kepala Batas didapati premis menggunakan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi untuk menjalankan perniagaannya.
"Ketika pemeriksaan di kedua-dua kilang, kita menemui penyelia kilang lelaki berusia 40an dan mendapati sebanyak 79 tong LPG bersubsidi digunakan dan berada di premis itu,"katanya.
Beliau memaklumkan, kesemua LPG berkenaan disita untuk siasatan lanjut dan nilai sitaan dianggarkan bernilai RM 9,742.90 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Inisiatif Kita Gempur ialah langkah strategik kerajaan untuk membina gerakan massa bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang membabitkan barang kawalan serta barang kawalan bersubsidi.
Kita Gempur dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Oktober lalu dalam usaha menangani ketirisan, di samping memastikan subsidi sampai kepada golongan sasar.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1321331/kpdn-pertimbang-guna-nombor-kumpulan-atasi-ketirisan-minyak-masak
|