Georgetown: Polis menahan penjaja sebelum merampas dua pucuk pistol serta peluru menerusi serbuan di negeri ini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, lelaki berusia 48 tahun itu ditahan di Jalan Sultan Azlan Shah di sini.
Katanya, berpandukan maklumat daripada suspek, polis merampas dua pucuk pistol dan beberapa peluru dalam kereta milik lelaki itu.
"Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku miliki pistol itu bagi tujuan perlindungan diri namun kita masih jalankan siasatan lanjut.
"Semakan lanjut juga mendapati suspek memiliki sembilan rekod lampau," katanya di sini, hari ini.
Sebelum itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Georgetown hari ini, bagi mendapatkan permohonan reman.
Majistret Shyahirah Abdul Salim membenarkan suspek direman selama tujuh hari sehingga 17 November ini bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.