Norizan (dua kiri) ditemani Abang Aien (kiri) memeriksa penunggang motosikal pada Operasi Khas Pengarah di Limbang.
LIMBANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak memfokuskan kepada motosikal dan kenderaan perdagangan dalam operasi seluruh Sarawak memandangkan kadar kemalangan maut membabitkan motosikal di Sarawak amat tinggi dan membimbangkan.
Pengarahnya Norizan Jili menjelaskan operasi dan pemeriksaan diadakan secara berterusan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan maut dan memastikan undang-undang jalan raya sentiasa dipatuhi.
“JPJ tidak berkompromi dalam soal keselamatan jalan raya dengan mengenakan tindakan tegas termasuk mengheret pesalah jalan raya ke mahkamah, jika melanggar undang-undang dan peraturan ditetapkan,” katanya pada Operasi Khas Pengarah di jalan berhampiran jejantas Taman Tasik Bukit Mas, di sini.
Turut sama Ketua Cawangan JPJ Limbang Abang Aien Abang Bolhil.
Menurutnya, JPJ juga menjalinkan kerjasama erat bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengenal pasti pesalah jalan raya serta mengurangkan kadar kemalangan maut di Sarawak.
Beliau turut mengingatkan penunggang motosikal agar menunggang secara berhemah menggunakan topi keledar yang mempunyai tanda SIRIM dan pemandu kenderaan berat memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik terutama brek.
"JPJ Sarawak sentiasa komited dan konsisten mengadakan aktiviti penguatkuasaan secara Rondaan Pemantauan dan Penguatkuasaan (RPP) selain Ops Khas dan Ops Bersepadu bersama agensi-agensi kerajaan lain.
“Ia penting bagi memastikan semua penunggang motosikal serta pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan semasa berkuat kuasa sekali gus menyumbang kepada penurunan kadar kemalangan jalan raya,” jelasnya.
|