Aidel dalam sesi soal jawab pada Persidangan DUN hari ini. - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Cadangan bagi pembinaan projek jalan penghubung Miri-Marudi, Marudi-Mulu (Long Melinau) dan Long Panai-Long Lama (MMMLL) masih berada di peringkat dokumentasi tender ketika ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) Datuk Aidel Lariwoo berkata, projek itu juga akan dilaksanakan bersama Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).
“Projek ini disasarkan untuk ditender pada suku pertama tahun 2025 dan kerja pembinaan pula dijangka bermula pada suku ketiga tahun yang sama.
“Justeru, kita menjangkakan projek ini siap menjelang suku ketiga 2029,” katanya semasa sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Aidel berkata, projek itu akan melibatkan pembinaan dan naik taraf kira-kira 42 kilometer (km) jalan standard Jabatan Karja Raya (JKR) R5 dari Eastwood Junction, Miri ke Marudi.
“Ia merangkumi pembinaan dan naik taraf kira-kira 100km jalan raya JKR R3 dari Marudi ke Kuala Melinau dan Long Panai ke Long Lama serta pembinaan 23 jambatan.
“Kos bagi pembinaan projek ini dianggarkan sebanyak RM3.8 bilion,” katanya sambil memberitahu, projek yang akan dilaksanakan dalam tempoh 48 bulan itu melibatkan dua pakej yang mana Pakej 1 adalah Miri ke Marudi (1A), Long Panai ke Long Lama (1B) dengan jarak 68km dan Pakej 2 pula dari Marudi ke Mulu 76km.
|