|
PENYANYI dan usahawan, Ina Naim kembali bergelar isteri selepas sah diijabkabulkan dengan jurutera, Mohd Khairul Rizal Shukor, dengan sekali lafaz.
Pasangan itu dinikahkan oleh Naib Kadi Daerah Kota Tinggi, Mohamad Ramadhan Mahroji tepat jam 9.50 pagi di kediaman keluarga Ina atau nama sebenarnya Nordiana Mohd Naim di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor.
Ina yang anggun dengan busana tona 'nude' menerima mas kahwin RM100, kelengkapan solat, seutas gelang tangan dan sebentuk cincin, selain wang hantaran sebanyak RM7,000.
Sebanyak lima dulang hantaran diberikan pihak pengantin lelaki dan dibalas tujuh dulang dari pihak Ina.
Majlis pernikahan yang diadakan secara sederhana dan ringkas itu dihadiri kira-kira 200 ahli keluarga, saudara-mara, kenalan terdekat serta orang kampung.
Menerusi video yang dikongsikan di Tiktok 'Telur Pindang Tradisi Johor' memaparkan momen pasangan itu melangsungkan pernikahan di kampung halaman Ina.
Ina ketika ditemui Astro AWANI melahirkan rasa syukur dengan ketetapan Allah dipertemukan jodoh dengan peminatnya dan arwah suami, Suhaimi Saad.
"Detik pertemuan dia adalah peminat saya dan arwah. Permulaan memang lama sikit nak terima, terlalu awal, tetapi Allah takdirkan saya solat istikharah, dia pilihan hati saya, saya terima seadanya," jelas Ina.
Menurut Ina, pernikahan kali kedua ini juga turut mendapat restu daripada anak-anaknya.
"Alhamdulillah buat masa ini, dari awal tak boleh terima juga, tak boleh ada ganti bapa dia, tapi alhamdulillah saya terangkan kepada anak-anak perlu belajar, perlu ada ketua, mereka faham... alhamdulillah," katanya lagi.
Beberapa video lain turut dikongsi akaun 'Telur Pindang Tradisi Johor', antaranya video hantaran perkahwinan dan juga video yang memaparkan Khairul Rizal yang lengkap memakai busana pengantin sedang menunggu di luar rumah untuk menuju ke lokasi akad nikah.
Ina bergelar ibu tunggal selepas suaminya, bekas penyanyi kumpulan nasyid In-Team, Allahyarham Suhaimi Saad, 43, meninggal dunia pada 15 November tahun lalu.
Hasil perkahwinan dengan Suhaimi, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.
SUMBER: – Astro Awani |
|