|
WASHINGTON – Satu fenomena ganjil dan menyeramkan dinamakan ‘cahaya hantu’ di negeri Florida masih belum terungkai sejak enam dekad lalu, lapor akhbar New York Post semalam.
Ahli sejarah tempatan, Jason Byrne berkata, cahaya terang itu dilihat di Jalan Snow Hill menghubungkan Chuluota ke Geneva, Florida sejak tahun 1960-an lagi.
Cahaya berwarna biru itu muncul terutamanya pada musim sejuk dan sekitar waktu tengah malam.
Ia menghampiri sebuah jambatan dari arah selatan di atas Sungai Econlockhatchee.
Cahaya itu seolah-olah menggambarkan pergerakan sebuah kereta semakin dekat, demikian menurut catatan blog ditulis oleh ahli sejarah itu.
“Dari kejauhan, ia seperti cahaya lampu kereta. Namun, apabila menghampirinya, beberapa saksi berkata, cahaya itu sangat terang seperti lampu kereta api barang dan tidak pernah terpisah menjadi dua.
“Anda memandu ke sana, tunggu sehingga waktu tengah malam dan cari lampu lagenda ini,” kata Byrne kepada saluran berita News 6. – AGENSI
SUMBER: – Kosmo |
|