Seremban: Pelakon yang sering memegang watak lelaki Inggeris dalam filem dan drama tempatan, Johan Abdullah, 75, meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, malam tadi.
Isterinya, Sarepah Meriam Aboo, 51 ketika dihubungi memaklumkan, Allahyarham disahkan meninggal dunia jam 7.20 malam akibat jangkitan kuman dalam darah.
"Dalam seminggu ini arwah tidak mahu makan melainkan hanya minum susu saja menyebabkan badannya semakin lemah.
"Kira-kira jam 12 tengah hari tadi, dia masih boleh duduk, namun secara tiba-tiba pada jam 3 petang tadi, nafasnya mula tercungap-cungap," katanya.
Dia berkata, Allahyarham kemudiannya dibawa ke hospital selepas jirannya menghubungi ambulans.
"Selepas 40 minit dirawat di zon kecemasan, arwah diberi bantuan pernafasan dan doktor memaklumkan terdapat jangkitan kuman dalam darah," katanya.
Menurutnya, sepatutnya Rabu depan arwah akan menjalani rawatan susulan bagi masalah radang usus, namun ia tidak sempat dilaksanakan.
"Arwah sebenarnya menghidap pelbagai penyakit iaitu penyakit angin ahmar, Parkinson, jantung, keradangan usus dan otak mengecut," katanya.
Bagaimanapun kata Sarepah Meriam, dia tidak sangka yang suaminya itu akan pergi secepat itu.
Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ainsdale, di sini, pada jam 11.30 pagi pada Ahad.
Harian Metro