Edited by Vellfire at 17-12-2024 06:57 AM
Fatimah (kiri) merakamkan kenangan bersama graduan prasekolah Tadika Kurnia bagi sesi 2024 pada majlis tersebut.
KUCHING: Sarawak komited untuk memastikan semua kanak-kanak menerima pendidikan awal kanak-kanak berkualiti sebelum melangkah ke darjah satu.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, 98.81 peratus kanak-kanak yang memasuki darjah satu pada tahun ini telah menerima pendidikan awal kanak-kanak.
Menurutnya, peratusan tinggi kanak-kanak di Sarawak yang mendapat pendidikan awal itu adalah bukti dedikasi para pendidik, ibu bapa dan komuniti di negeri ini.
"Di kementerian, kami teguh dalam usaha menyokong pendidikan inklusif melalui inisiatif seperti Pusat OSEIC di Kuching dan Dalat dan akan datang, di Miri dan Kota Samarahan.
"Selain itu, projek perintis kami baru-baru ini dengan Toy8, sebuah syarikat teknologi pendidikan penjagaan kesihatan Jepun, telah menunjukkan hasil yang menjanjikan, menyaring 301 kanak-kanak dan mengenal pasti 30 kanak-kanak untuk intervensi awal.
"Usaha ini membuka jalan untuk masa depan di mana setiap kanak-kanak boleh berkembang maju, tidak kira titik permulaan mereka," ujarnya.
Fatimah (dua kiri) hadir pada Konsert Tahunan Tadika Kurnia 2024 di Auditorium Chemsains, Jalan Rock, Kuching malam semalam.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Konsert Tahunan Tadika Kurnia 2024 yang berlangsung di Auditorium Chemsains, Jalan Rock di sini, malam semalam.
Fatimah turut memuji para pendidik dan Pengetua Tadika Kurnia atas kerja keras menjayakan program konsert tersebut bagi menyerlahkan bakat anak-anak pada seawal usia.
Katanya, penglibatan anak-anak dalam konsert itu secara tidak langsung dapat menyediakan pengalaman bernilai kepada mereka serta membantu dalam pembangunan bakat serta kemahiran anak-anak.
Selain persembahan konsert, seramai sembilan anak-anak Tadika Kurnia yang menamatkan prasekolah bagi sesi 2024 turut diraikan pada majlis itu.
|