Lebih 600 tan sisa banjir di Kubang Pasu, Alor Setar dikumpul dalam 15 hari
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Disember 17, 2024 @ 2:34pm [email protected]
Operasi mengutip sisa pasca banjir di Kubang Pasu dan Kota Setar. - Foto ihsan EISB
ALOR SETAR: Sebanyak 616.75 tan sisa banjir dikumpul sepanjang 15 hari operasi pasca banjir dilaksanakan E-Idaman Sdn Bhd (EISB) yang kemudian dihantar ke tapak pelupusan di Jabi, dekat sini.
Ketua Divisyen Operasi EISB, Munir Amani Dasheer, berkata, sebanyak 29 lokasi perkhidmatan yang terjejas akibat banjir meliputi daerah Kubang Pasu membabitkan 10 lokasi dan Alor Setar (19 lokasi).
Katanya, operasi pasca pembersihan sisa banjir ini dilakukan secara besar-besaran bersama SWCorp Negeri Kedah, pihak berkuasa tempatan (PBT), EISB, subkontraktor EISB, badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan serta penduduk setempat.
"EISB menggerakkan seramai 210 orang tenaga kerja sepanjang tempoh operasi dilakukan.
"Selain itu, E-Idaman turut menyediakan 171 tong sampah di 57 pusat penempatan sementara (PPS) yang dihuni mangsa banjir bagi memastikan kebersihan di kawasan terbabit.
"EISB juga komited dalam meneruskan operasi pembersihan pasca banjir ini, dan dijangka selesai sepenuhnya pada 20 Disember ini namun ia bergantung dengan keadaan cuaca semasa serta kekangan yang tidak dielakkan ketika operasi berlangsung," katanya.
Dalam pada itu, Munir Amanita berkata operasi pasca banjir ini bermula pada 30 November sehingga 14 Disember dengan kekuatan jentera sebanyak 69 jentera yang diguna pakai ketika tempoh operasi pasca banjir terbabit.
"Operasi turut menggunakan tujuh jengkaut, satu unit water jet dan satu unit ultrawhack.
"Penduduk boleh kembali menjalani kehidupan harian dengan keadaan lebih selesa serta selamat.
"Untuk pertanyaan lanjut berkaitan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam, hubungi Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472 dan talian ini beroperasi tujuh hari seminggu bermula jam 8 pagi hingga 8 malam," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1338083/lebih-600-tan-sisa-banjir-di-kubang-pasu-alor-setar-dikumpul-dalam
|