MIRI: Polis di sini telah menahan seorang lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan kes samun menggunakan senjata berbahaya.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu dalam kenyataan medianya di sini semalam mengesahkan polis menerima laporan kes berkenaan pada 8 Disember lalu daripada seorang pengadu wanita.
"Saya mengesahkan menerima satu laporan polis daripada seorang pengadu (wanita) kes samun menggunakan senjata jenis parang berlaku di sebuah premis, Simpang Ngu Batu Niah, Jalan Miri-Bintulu, pada 8 Disember lalu.
"Susulan kejadian tersebut, polis giat menjalankan siasatan dan risikan sehingga membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan di Betong yang disyaki terlibat dalam kejadian itu," katanya.
Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.
Alexson meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi talian 085-433730 untuk menyalurkan maklumat berkaitan.
"Polis amat menghargai keprihatinan masyarakat terhadap keselamatan dan persekitaran di daerah Miri," jelasnya.
|