View: 24397|Reply: 0
|
[Tempatan]
Pantau had umur pengguna media sosial 1 Januari ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil
[Copy link]
|
|
Pantau had umur pengguna media sosial 1 Jan ini, kata Fahmi
https://www.freemalaysiatoday.co ... jan-ini-kata-fahmi/
Bernama
19 Dec 2024, 04:01 PM
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata langkah ini susulan pelaksanaan pelesenan platform media sosial yang akan berkuat kuasa pada 1 Jan depan.
Menteri komunikasi berkata langkah tambahan akan diambil sekiranya platform media sosial gagal melaksanakan larangan had umur pengguna yang ditetapkan mereka.
IPOH: Kementerian Komunikasi akan memantau dan mengambil langkah tambahan sekiranya mana-mana platform media sosial gagal melaksanakan larangan had umur penggunaan yang ditetapkan platform tersebut.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata langkah ini susulan pelaksanaan pelesenan platform media sosial yang akan berkuat kuasa pada 1 Jan depan.
Beliau berkata kebanyakan platform media kini menetapkan had umur penggunaan pada usia 13 tahun.
“Kita nak tengok bagaimana mereka menguatkuasakan had larangan umur itu, berdasarkan apa yang (sekarang ini) mereka (platform media sosial) sendiri sudah tetapkan.
“Jika penguatkuasaan mereka gagal, kita akan mempertimbangkan langkah-langkah tambahan,” katanya pada sidang media sempena Program Perak Economic Outlook 2025.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Malaysia akan mengikut langkah Australia yang melarang kanak-kanak berusia 16 tahun ke bawah menggunakan platform media sosial.
Fahmi menjelaskan pihaknya menyerahkan tugas penguatkuasaan terhadap had umur itu kepada platform media sosial sebagai jaminan kestabilan polisi kerana pihaknya tidak mahu menyekat kebebasan bersuara.
“Kita pada waktu ini mengambil maklum pandangan Apurva Sanghi (ketua ahli ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia) mengenai kestabilan dasar. Ini kerana, kita berbincang perkara ini dengan semua platform media sosial yang besar dan menghasilkan bilionan ringgit setiap tahun dari Malaysia.
“Jadi, banyak perbincangan dilakukan dan apa yang kita tegaskan tiada sebarang perubahan terhadap apa yang telah dibincangkan dari awal hingga kini. Oleh itu, kami ingin menyediakan kestabilan dasar dan memberi ketelusan agar pihak pengurusan tertinggi syarikat-syarikat ini faham.
“Kami tidak ingin mengehadkan kebebasan bersuara, tetapi kami ingin mengehadkan kebebasan penjenayah daripada menggunakan platform ini. Ini adalah isu yang ingin kami pastikan dapat diatasi,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata platform media sosial dan pesanan Internet yang kini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna sedang berada di fasa akhir proses pendaftaran Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“… terdapat beberapa platform yang telah saya terima kemaskini semalam, ada yang meminta penjelasan mengenai beberapa perkara, dan ada yang sedang menyediakan dokumen berkaitan pembentangan undang-undang dan perkara-perkara seumpamanya.
“Dan saya telah meminta agar kesemua platform ini dihubungi dan diberikan maklum balas pada hari ini kerana kita ingin memastikan platform-platform ini berdaftar. Kita tidak mahu berhadapan dengan situasi di mana kita terpaksa mengambil tindakan berdasarkan undang-undang yang tegas,” katanya.
Beliau berkata hal itu kerana pihaknya memahami ramai pengguna platform media sosial yang memanfaatkan kelebihan yang terdapat di media sosial berkenaan termasuk untuk perniagaan dan pihaknya tidak berhasrat untuk menutup mana-mana platform-platform tersebut.
“Tapi kita juga tidak mahu platform-platform ini terus disalah guna oleh penjenayah.
“Semalam, contohnya ada satu laporan News Straits Times dan saya difahamkan Berita Harian tentang jenayah seksual terhadap kanak-kanak pedofilia yang berleluasa di beberapa platform.
“Kita tak mahu masalah ini berlarutan dan semua platform setakat ini menunjukkan kesediaan.Cuma mereka ada beberapa soalan spesifik, soalan teknikal dan kita sedang uruskan,” katanya.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|