Edited by Vellfire at 19-12-2024 08:49 AM
TIBA: Ketibaan jasad mendiang Olivia dari Korea disambut oleh ahli keluarga termasuk ibu dan anak-anaknya di MASKargo semalam. Turut kelihatan Juil (empat kanan).
KOTA KINABALU: Janji anaknya yang mahu pulang ke Sabah menjadi berita paling menggembirakan bagi Lina Sham, 61, seisi keluarga selepas lebih tujuh tahun menanti kepulangan anaknya yang bekerja di negara Korea Selatan.
Namun tiada siapa menduga itulah juga kata-kata terakhir mendiang Olivia Richard, 46, yang disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung pada 4 Disember lepas di bandar Andong, Korea Selatan.
Kegembiraan Lina sekeluarga berubah menjadi berita duka selepas menerima panggilan yang memaklumkan anak keduanya itu sudah menghembuskan nafas terakhir.
"Kali terakhir kami berhubung pada hujung Oktober tahun ini dan mendiang langsung tidak menunjukkan ada mengalami sakit.
"Mendiang ini seorang yang ceria dan peramah dan biarpun saya ada menegur atau marah, dia tetap membalas dengan gurauan dan gelak ketawa.
"Tidak sangka itulah gurauan terakhir mendiang sebelum kami mendapat berita mengenai pemergiannya," katanya yang ditemui media semasa menanti ketibaan jasad mendiang Olivia yang diterbangkan dari Korea di MASKargo di sini hari ini.
SAYU: Lina tidak mampu menahan sebak sebaik memasuki van yang membawa jasad mendiang anaknya untuk dibawa pulang ke Kampung Novoung Papar.
Menurutnya, setiap kali berhubung dengan Olivia, banyak cerita dikongsikan bersama mendiang sama ada berkaitan kerja dan juga rutin hariannya di Korea.
Selain itu katanya, semua perkembangan mengenai ketiga-tiga anak mendiang sentiasa dikongsikan memandangkan perbelanjaan harian dan persekolahan anak-anaknya tidak pernah dilupakan mendiang.
"Biarpun jauh dari anak-anak, tapi mendiang tidak pernah lupa untuk mengirim wang perbelanjaan untuk anak-anaknya.
"Setiap kali sambutan hari jadi atau Hari Krismas, mendiang memang akan mengirim wang sebagai hadiah untuk kami semua," katanya.
Menurutnya, itulah antara sikap dan keprihatinan mendiang yang paling diingati mereka sekeluarga kerana jarak yang memisahkan mereka bukan halangan untuknya terus mengambil berat mengenai kebajikan anak-anak dan ahli keluarga yang lain.
Suasana sayu dan pilu menyelubungi seluruh ahli keluarga termasuk ketiga-tiga anak mendiang sebaik ketibaan jasad Olivia sekitar jam 11 pagi hari ini.
Tidak disangka, kepulangan yang selama ini dinantikan mereka sekeluarga kini hanya jasad tidak bernyawa yang tiba disambut keluarga.
Mendiang dibawa pulang oleh ahli keluarganya ke Kampung Novoung Papar sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Libagu Papar.
Sebelum ini, berita kematian mendiang tular di laman sosial selepas ditemukan meninggal dunia di rumah sewa tempatnya bekerja oleh rakan sekerjanya.
Turut hadir memberi penghormatan kepada mendiang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau Datuk Juil Nuatim.
https://www.utusanborneo.com.my/2024/12/19/janji-mahu-pulang-namun-hanya-jasad-yang-tiba |