ARDINO
KOTA KINABALU: Kenyataan Ketua Wanita Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang tular hanyalah pandangan peribadi beliau dan bukan kenyataan rasmi dari parti itu, kata Timbalan Ketua Penerangan STAR, Ardino Diris.
Mengulas lanjut, Ardino memberitahu, soal siapa sepatutnya diangkat menjadi Ketua Menteri tidak patut ditimbulkan, walaupun ada yang mendakwa keadaan politik di Sabah 'goyang' ketika itu.
"Sebaliknya semua pihak harus teguh mempertahankan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
"Presiden STAR sendiri telah pun mengeluarkan kenyataan bahawa beliau menyokong penuh pimpinan Hajiji ketika ini," katanya dalam satu kenyataan.
Ardino yang juga Ketua Bahagian STAR Bandau menegaskan beliau yakin Presiden STAR mempunyai pandangan yang jauh untuk kesejahteraan rakyat Sabah.
"Presiden akan terus bekerjasama dengan Ketua Menteri menerajui Kerajaan GRS sehinggalah hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia tercapai dan dipenuhi," katanya.
|