Cikgu Nur Nazalishah hilang sejak 10 Disember
IPOH – Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang guru wanita berusia 43 tahun yang dilaporkan hilang sejak 10 Disember lalu. Identiti wanita terbabit ialah Nur Nazalishah Ahmad beralamat di Jalan Lapangan Harmoni, Taman Lapangan Harmoni dekat sini. Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, maklumat kehilangan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson itu diterima selepas abang wanita terbabit membuat laporan di Balai Polis Tampoi, Johor. Katanya, lokasi terakhir wanita itu dilihat minggu lalu ketika berada di sekolahnya di sini. “Wanita berkulit kuning langsat dengan ketinggian kira-kira 160 sentimeter dan berat 65 kilogram itu difahamkan menghilangkan diri kerana tekanan akibat masalah rumah tangga,” katanya di sini hari ini. Menurut beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan individu terbabit diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. “Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500,” katanya. -KOSMO! ONLINE
|