Edited by sfhzuraz at 24-12-2024 05:53 PM
Perlu tindakan segera kukuhkan keyakinan terhadap perundangan negara
ROSLINDA HASHIM
24 Disember 2024 05:32pm
Shaiful Hazizy
ALOR SETAR - Tindakan segera perlu diambil untuk memperbaiki dan mengukuhkan semula keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, proses undang-undang harus dijalankan dengan penuh ketelusan, keadilan dan berlandaskan bukti sahih bagi memastikan tiada ruang bagi penyalahgunaan kuasa berlaku.
Menurutnya, ini kerana ia bukan sahaja boleh menjejaskan integriti negara malah kewibawaan terhadap sistem perundangan negara.
“Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan pendakwaan-pendakwaan dalam kes berprofil tinggi sebelum ini yang disifatkan lemah, bermotifkan politik dan berunsur dendam amat mengejutkan.
“Ia juga memberi kesan mendalam berkaitan kepercayaan rakyat terhadap sistem perundangan negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Pada Sabtu, Anwar menyifatkan terdapat kelemahan dalam beberapa kes pendakwaan yang dibuat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana ia dilakukan secara tergesa-gesa.
Beliau dilaporkan berkata, ia adalah kerana tindakan itu didorong oleh kebencian, permusuhan dan dendam politik oleh mereka yang berkuasa.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor yang juga isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM7 juta dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Hakim, K Muniandy membenarkan permohonan untuk membatalkan semua tuduhan terhadapnya atas alasan tuduhan tanpa asas dan pendakwaan tidak mengemukakan unsur kesalahan dalam tuduhan yang dikenakan.
Rosmah masih menghadapi satu lagi kes di peringkat rayuan terhadap sabitan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta bagi kes rasuah solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.
Dalam pada itu, Shaiful Hazizy memohon agar Peguam Negara menilai semula pendakwaan yang telah dilakukan selain mengambil tindakan segera memperbetulkan ‘bencana’ kepercayaan yang berlaku.
“Peguam Negara perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memastikan setiap proses undang-undang dijalankan secara objektif dan profesional tanpa dipengaruhi oleh kepentingan politik mana-mana pihak.
“Institusi perundangan yang bebas dan adil wajar dipertahankan dengan penuh integriti. Ia tidak boleh dibiarkan menjadi alat oleh pihak-pihak tertentu untuk mencapai tujuan politik,” ujarnya.
Menurutnya lagi, pihaknya menggesa agar setiap usaha diambil bagi memastikan sistem kehakiman negara bebas daripada sebarang campur tangan politik yang boleh merosakkan kredibilitinya.
“UMNO Kedah sarankan agar beberapa tribunal dan suruhanjaya sedia ada diperkasakan dan ditambah baik untuk meningkatkan tahap semak dan imbang, yang kini dilihat terhakis akibat campur tangan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Menurutnya, menerusi pemerkasaan dan penambahbaikan sewajarnya, UMNO Kedah yakin institusi perundangan negara akan terus menjadi benteng terakhir rakyat dalam menuntut keadilan dan perlindungan daripada sebarang ancaman.
“Ia sekaligus memulihkan keyakinan terhadap sistem perundangan yang adil dan saksama,” katanya.
https://www.sinarharian.com.my/article/703813/berita/politik/perlu-tindakan-segera-kukuhkan-keyakinan-terhadap-perundangan-negara
|