Edited by sfhzuraz at 24-12-2024 05:59 PM
Derma jihad untuk wakil rakyat tidak salah - Mursyidul Am Pas
ROSLINDA HASHIM
24 Disember 2024 04:02pm
Hashim
ALOR SETAR - Kutipan derma untuk wakil rakyat Pas bagi kegunaan parti tidak menjadi kesalahan, malah amalan itu sudah lama dibudayakan dalam parti itu.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, perbuatan itu juga tidak bercanggah dengan hukum Islam kerana sikap saling bantu-membantu adalah amalan yang dituntut dalam agama Islam.
Menurutnya, sekiranya ahli semua peringkat parti itu menyumbang ‘derma jihad’ kepada Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad untuk melangsaikan denda kes saman fitnah difailkan tiga pemimpin DAP, ia sangat dialu-alukan.
“Derma untuk wakil rakyat itu tidak salah, ia juga bukan bercanggah dengan hukum Islam. Kita bantu Siti Mastura sebab apa yang dia lakukan itu bukan bersifat peribadi, tetapi untuk parti ketika berkempen pilihan raya,” katanya kepada Sinar Harian.
Hashim berkata, sekiranya seseorang ahli parti itu dalam kesusahan, adalah tidak wajar untuk membiarkan individu berkenaan berseorangan berdepan musibah.
“Oleh kerana dia (Siti Mastura) berada dalam jemaah parti, saya sokong kutipan derma untuk bantu dia. Dia buat kerja kerana jemaah (parti), kalau dia sesak kita tak tolong, mana patut macam itu.
“Kalau kutipan setiap seorang RM10 kita boleh bayar, bukan banyak pun. Kita wajar tanggung bersama (beban) kerana apa yang dilakukan ketika itu atas nama parti, bukan peribadi,” ujarnya.
Menurutnya lagi, amalan kutipan derma dalam parti itu bukan perkara baharu dan sudah lama dipraktikkan.
“Ini cara kita (Pas) ikut kemampuan kita, kita buat di mana saja kebajikan (derma).
“Amalan kutip derma perkara biasa dalam Pas, ia bukannya paksaan. Bukan benda baru kita kutip derma untuk buat apa-apa, contohnya dalam ceramah atau bina bangunan untuk parti,” katanya.
Sebelum ini, tersebar surat pekeliling yang dihantar kepada pemimpin utama pusat, negeri dan sayap Pas memohon ‘derma jihad’ bagi membiayai Siti Mastura membayar RM825,000 segera, seperti diperintahkan oleh mahkamah.
Menurut surat berkenaan, kegagalan membayar saman akan menyebabkan plaintif mengambil tindakan prosiding kebankrapan yang boleh menyebabkan Siti Mastura hilang kelayakan sebagai wakil rakyat dan kerusinya akan dikosongkan.
Surat tersebut memaklumkan, Pas telah membincangkan perkara itu dengan teliti dan memutuskan semua peringkat perlu turut sama mengambil tanggungjawab menyelesaikan tuntutan tersebut.
Ia berikutan Siti Mastura, yang didakwa mengeluarkan kata-kata fitnah terhadap DAP, melakukannya dalam keadaan berasas semasa menunaikan tanggungjawab terhadap parti dan perjuangan semasa kempen PRK Kemaman pada 4 November 2023.
Hashim bagaimanapun tidak menerima surat pekeliling yang dimaksudkan itu.
“Ramai orang kata surat itu ada tetapi mereka tidak hantar kepada saya. Saya tak tengoklah surat yang dimaksudkan itu.
“Kalau surat itu ada pun tak jadi salah sebab bukan perkara mudarat. Dia macam budaya dalam Pas juga lah, untuk bantu sesama ahli,” katanya.
Menurutnya, sekiranya ada pihak yang mempertikaikan tindakan tersebut, terpulang kepada tanggapan masing-masing.
“Terpulang pada mereka, itu tanggapan masing-masing. ALLAH SWT akan nilai niat kita,” ujarnya.
https://www.sinarharian.com.my/article/703795/berita/politik/derma-jihad-untuk-wakil-rakyat-tidak-salah---mursyidul-am-pas
|