CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 5433|Reply: 0

[Sarawak] Masih banyak perlu dilakukan terjemah indeks perpaduan negara di lapangan

[Copy link]
Post time 30-12-2024 03:32 PM | Show all posts |Read mode


Gambar hiasan
KUCHING: Masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan indeks perpaduan negara yang dicapai hari ini, benar-benar diterjemahkan di lapangan.

Penolong Naib Canselor (Kepimpinan dan Pembangunan) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Prof Datu Mohd Fadzil Abd Rahman (gambar) berpendapat di atas kertas, indeks perpaduan negara begitu baik, tetapi realitinya masih terdapat sentimen-sentimen kurang sihat dalam komuniti.


"Tidak dinafikan di atas kertas memang begitu baik, itu yang boleh saya katakan mengenai indeks perpaduan negara ketika ini, tetapi realitinya di lapangan ada kawasan masih menebal sentimennya.

"Jadi, kita tidak boleh terlalu mengukur indeks yang ditulis di atas kertas, dari segi faktanya, realiti di lapangan, kita melihat masih ada lagi bahagian-bahagian tertentu, ia diterjemahkan tidak begitu mempamerkan hasil dapatan (indeks) yang ada," katanya kepada Utusan Borneo.

Beliau bagaimanapun mengakui, ada kemajuan dalam indeks perpaduan negara ketika ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Biarlah orang nak kata apa... Sentimen di Parlimen itu sendiri yang tidak begitu kondusif, sentiasa berdebat mengenai perkara-perkara sensitif secara terbuka walaupun kita faham Parlimen tempat berdebat secara terbuka sehingga sensitiviti rakyat tidak diambil kira.

"Ini mugkin akan menjejaskan hasrat mereka yang begitu agresif seperti Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

"Oleh itu, bagi saya, kalau bertanya mengenai indeks perpaduan negara... ada kemajuan tetapi antara yang ditulis di atas kertas dan realiti, masih ada ruang untuk kita buat kajian dan teliti dengan mendalam," ujarnya.

Menyentuh tentang usaha KPN memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama, Mohd Fadzil berharap semua program dirancang dan dilaksanakan tidak bersifat 'one-off.'

Beliau menegaskan, program KPN tidak boleh dilakukan hanya sekadar memenuhi hasrat dan Indeks Prestasi Utama (KPI), sebaliknya mestilah ada kaedah susulan.

Ia penting katanya, bagi membolehkan kemajuan dan perkembangan hasil daripada aktiviti serta program yang dilaksanakan, diikuti.

"Yang saya bimbang, program kita terlalu banyak dan bagus, itu tidak menjadi masalah, cuma sampai atau tidak mesej dan hasrat yang ingin kita sampai kepada masyarakat. Itu yang menjadi persoalan lebih besar.

"Jadi pada saya, ia berbalik kepada bagaimana penghayatan terhadap program-program yang dilaksanakan. Kalau yang dilakukan itu sekadar untuk memenuhi aktiviti semata-mata, hasrat asal itu mungkin tidak tercapai.

"Justeru, setiap program itu perlu ada sedikit pemantauan dan juga kaedah-kaedah susulan melihat kepada keberkesanan satu-satunya projek itu supaya boleh kita rancang untuk program-program lain pada masa depan," katanya.

Mohd Fadzil menambah, jika ada program yang kurang mendapat sambutan atau berkesan, maka ia perlu pemantauan bagi membolehkan apa jua yang dirancang pada masa depan akan lebih mengenai sasaran ditetapkan.

Berbalik kepada masyarakat katanya, masyarakat harus berfikir seperti kementerian serta tidak boleh terlalu 'berpusat' kepada kaum, bangsa, agama kerana ia akan memecahbelahkan masyarakat.

"Saya berkata demikian, bermaksud saya tidak ada masalah untuk kita berpegang teguh kepada ajaran, agama, budaya dan sebagainya.

"Itu tidak ada masalah, cuma dari peringkat makronya, sebagai sebuah negara majmuk, selain daripada inisiatif KPN, kita sendiri sebagai masyarakat harus ketepikan sentimen-sentimen yang boleh memporak-perandakan usaha perpaduan yang sedang dilaksanakan," tegasnya.

Menurutnya, tidak dapat dinafikan di Malaysia rakyat mesti hidup secara harmoni dan dalam keadaan perpaduan kerana negara terbentuk dalam situasi yang sudah sedemikian rupa dari permulaan penubuhannya.

"Jadi tidak boleh tidak, jangan ada sedikit pun perasaan yang cuba untuk mengapi-apikan sentimen.

"Kalau ada sentimen itu tentu api sentimen perkauman dan sebagainya akan mengatasi segala usaha dibuat oleh kementerian," tambahnya.

"Jadi, saya masih mengangap peranan ahli politik dalam memperjuangkan isu bangsa dan kaum masing-masing perlu dilakukan dengan berhati-hati serta lebih berhemah serta banyak menggunakan budi bicara dalam melontarkan sebarang pandangan.

"Ini kerana, tidak ada pilihan selain daripada kita perlu menyatupadukan rakyat supaya negara kita maju ke hadapan," ujarnya.



Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-1-2025 03:19 PM GMT+8 , Processed in 0.233590 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list