Edited by sfhzuraz at 30-12-2024 07:08 PM
Penduduk resah enam insiden kebakaran berturut-turut di DUN Kupang
SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA
30 Disember 2024 06:09pm
ADUN Kupang, Datuk Najmi Ahmad (dua dari kanan) melawat lokasi kejadian kebakaran.
BALING - Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang di sini runsing memikirkan misteri kebakaran yang didakwa berlaku secara berturut-turut di enam lokasi di DUN berkenaan sejak minggu lalu.
Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Mohd Sabri Abu Bakar berkata, kejadian itu menimbulkan kebimbangan serta mengundang keresahan penduduk yang tinggal di kampung terlibat.
Menurutnya, kebanyakan kebakaran membabitkan motosikal yang diletakkan di hadapan rumah mangsa selain terdapat juga kejadian merebak sehingga menyebabkan kereta dan rumah turut terbakar.
"Walaupun tidak melibatkan mangsa namun pelik kerana ia berlaku secara berturut-turut, boleh dikatakan setiap hari dalam kawasan sama.
"Kejadian pertama berlaku di rumah penduduk di Kampung Pisang, Mazlan Saad, 49, membabitkan tiga buah motosikal kira-kira jam 3.30 pagi pada Selasa.
]
Kebakaran membabitkan motosikal yang terbakar di hadapan rumah mangsa.
"Pada Rabu, rumah Mohd Zambri Ahmad, 44, di Kampung Bukit Terabak pula terbakar sekitar waktu yang sama iaitu jam 3.30 pagi membabitkan dua buah motosikal dan sebuah kereta,"katanya.
Menurut Mohd Sabri, selain peralatan dan perkakasan rumah, kerugian agak besar kerana mangsa gagal menyelamatkan harta benda semasa kejadian.
"Api disedari marak di bahagian depan rumah, mangsa dan isteri yang terasa bahang panas terjaga daripada tidur serta sempat menyelamatkan diri," katanya.
Jelasnya, pada Khamis, kejadian berlaku pula di Kampung Tanah Periuk membabitkan dua rumah penduduk kampung.
Beliau berkata, rumah penduduk, Adnan Hassan, 39, musnah sepenuhnya dalam kebakaran jam 2.30 pagi dan ketika kejadian mangsa berada di Kuala Perlis bersama isteri bercuti di Langkawi.
"Semua peralatan rumah mangsa hangus termasuk tujuh ekor kucing yang dibela dalam sangkar rentung," katanya.
Seterusnya, pada Sabtu, dua kejadian lagi membabitkan motosikal di Kampung Banggol Nyor dan Kampung Tanjung.
Katanya, insiden kebakaran dikatakan hampir sama iaitu bermula dari bahagian hadapan rumah atau kawasan parkir kenderaan dengan jarak lokasi kejadian secara berturutan itu hanya antara satu hingga tiga kilometer.
Bagaimanapun, laporan polis telah dibuat mangsa dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Rumah mangsa yang hangus dalam kejadian kebakaran di DUN Kupang, Baling, Kedah.
"Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa, kita serahkan hal ini kepada kebijaksanaan pihak berkuasa untuk menyiasat dan mencari puncanya.
"Pihak forensik bomba juga sedang membuat siasatan lanjut dan kita memerlukan masa dua minggu untuk mengetahui jawapan seterusnya," katanya.
Dalam pada itu, katanya, satu mesyuarat di Masjid Al-Rahmani Kampung Sadek diadakan pada Ahad bertujuan mewujudkan pasukan jaga malam dalam usaha mengawasi keselamatan dan anasir jenayah di kawasan berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga.
https://www.sinarharian.com.my/article/704625/edisi/utara/penduduk-resah-enam-insiden-kebakaran-berturut-turut-di-dun-kupang
|