Pua Chee Kang dipenjara 11 tahun oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat kerana bakar rumah dan kereta. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: "Kalau saya tak buat, ahlong mahu bakar rumah saya," kata tukang masak yang orang suruhan peminjam wang haram atau ahlong ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan membakar rumah dan kereta milik dua individu, minggu lalu.
Pua Chee Kang, 41, yang pernah dipenjara atas kesalahan sama tiga tahun lalu itu mengaku salah atas dua pertuduhan di di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan khianat dengan api membakar rumah milik seorang lelaki berusia 43 tahun di Parit Bilal, di sini, 1.50 pagi, 22 Disember lalu.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun dan juga denda.
Manakala pertuduhan kedua, tertuduh didakwa membakar sebuah kereta milik wanita berusia 34 tahun di Taman Banang Ria, di sini, pada jam 2.34 pagi, 14 Disember lalu.
Sehubungan itu dia didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dengan penjara selama 14 tahun dan denda.
Berdasarkan fakta kes polis menerima laporan daripada kedua-dua mangsa apabila mendapati kediaman dan rumah mereka dibakar oleh individu menggunakan petrol.
Sebelum kejadian, mangsa berada dalam rumah sebelum terdengar jeritan dan letupan dari luar rumah.
Mangsa mendapati bahagian hadapan rumah dan kereta terbakar serta menemukan nota ditulis 'bayar hutang, kalau tidak aku bakar' pada kertas yang ditampal di rumah terbabit.
Tertuduh ditahan selepas perbuatannya dirakam menerusi kamera litar tertudup (CCTV).
Kejadian itu menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kerugian antara RM20,000 hingga RM50,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum dijatuhi hukuman itu, pihak pendakwaan turut mengemukakan dua rekod lampau tertuduh mengikut Seksyen 435 dan 436 dan dipenjara 42 bulan pada 2021.
Mahkamah kemudian menjatuhkan penjara lima tahun bagi pertuduhan pertama dan enam tahun untuk pertuduhan kedua.
Pada masa sama, mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan berasingan memandangkan semua kejadian ini berlaku pada masa, tarikh dan lokasi serta mangsa berlainan.
Disiarkan pada: Disember 30, 2024
|