Alor Setar: Sebanyak 1,235 aksesori motosikal yang diubah suai pemilik dan penunggang motosikal bernilai lebih RM400,000 dimusnahkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik (JSPT) Kedah semalam.
Ketua JSPT Kedah, Superintendan Abdel Nasser S Salleh berkata, kesemua barangan itu adalah antara beberapa siri rampasan yang dilakukan bermula Julai lalu.
Beliau berkata, antara barangan yang dilupuskan termasuklah ekzos, swing arm, enjin, karburator, unit kawalan elektronik (ECU) serta tayar motosikal.
"Kesemua barangan itu dilupuskan selepas mendapat arahan pelupusan dari mahkamah sebagaimana peruntukan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333).
"Barangan itu dirampas dalam beberapa operasi dilaksanakan antaranya Ops Khas Motosikal dan Ops Samseng Jalanan yang dijalankan sepanjang tahun.
"Pelupusan ini membabitkan 445 ekzos, 128 'swing arm', empat kaburetor, dua ECU dan enam lain-lain item setelah mendapat arahan dari Majistret di bawah Seksyen 407 Kanun Prosedur Jenayah dengan kaedah pelupusan menggunakan jentera penggelek jalan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, tadi.
Abdul Naseer berkata, bagaimanapun masih banyak lagi barangan aksesori rampasan yang tersimpan dan sedang menunggu arahan mahkamah untuk dilupuskan.
Beliau berkata, sepanjang tahun ini, pihaknya membuat sitaan terhadap 6,168 barangan dengan yang terbanyak adalah ekzos iaitu sebanyak 3,286 unit dan ekzos sebanyak 2,178 unit.
"Pihak polis tidak berhasrat untuk menyusahkan mana-mana pihak apabila menyita kenderaan mereka yang menggunakan barangan tidak mengikut spesifikasi serta diubah suai.
"Kami hanya mahu memastikan keselamatan pemilik kenderaan itu serta pengguna jalan raya lain.
"Pemilik kenderaan boleh menuntut kembali motosikal yang disita dalam tempoh 24 jam dengan syarat mereka memasang semula aksesori asal," katanya.
Abdul Naseer berkata, pihaknya tidak berhasrat untuk menyita kenderaan terlalu lama kerana memahami kesukaran dihadapi pemilik motosikal yang mungkin perlu menggunakan kenderaan itu untuk urusan harian. Namun kami perlu memberi keutamaan terhadap keselamatan pengguna jalan raya yang lain.