FOTO edaran yang dikeluarkan oleh saluran Telegram rasmi Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky pada 30 Disember 2024, menunjukkan seorang tawanan perang Ukraine memeluk seorang wanita dan kanak-kanak, selepas pertukaran di lokasi yang tidak didedahkan, di tengah-tengah pencerobohan Rusia di Ukraine. FOTO Telegram / @Volodymyr Zelensky / AFP
Istanbul: Rusia dan Ukraine pada Isnin lakukan pertukaran 300 tahanan perang, lapor Agensi Anadolu (AA), memetik kenyataan Kementerian Pertahanan Rusia.
Kenyataan kementerian itu menyatakan bahawa 150 anggota tentera Rusia dikembalikan oleh Kyiv dan semuanya kini menerima bantuan psikologi dan perubatan di negara jiran, Belarus.
Kenyataan itu menambah bahawa semua anggota tentera yang dipindahkan oleh Ukraine akan dibawa ke Rusia untuk rawatan dan pemulihan.
Kenyataan itu juga menyebut bahawa 150 anggota Ukraine dikembalikan sebagai pertukaran, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi pengantara dalam pertukaran itu.
Pihak berkuasa Ukraine masih belum mengesahkan pertukaran tahanan.
Sejak permulaan perang Rusia-Ukraine pada 24 Februari 2022, Moscow dan Kyiv melaksanakan hampir 60 pertukaran tahanan perang.
Pertukaran terakhir antara Moscow dan Kyiv dilakukan pada pertengahan Oktober lepas apabila kedua-dua negara menukar 95 tahanan perang masing-masing.
Pada bulan lepas, Rusia dan Ukraine menuduh satu sama lain memperlahankan proses pertukaran tahanan.
Sementara itu, ombudswoman Rusia Tatyana Moskalkova pada awal bulan ini berkata, Moscow sedang merundingkan "pertukaran besar" tahanan dengan Ukraine, tetapi perjanjian mengenainya belum dicapai dengan Kyiv.
Disiarkan pada: Disember 31, 2024
|