Johor Bahru: Polis menahan tujuh remaja yang bertindak melakukan khianat dengan api dan menconteng menggunakan cat merah di rumah peminjam wang sekitar daerah ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, semua suspek warga tempatan berusia 16 hingga 18 tahun itu ditahan dalam lima serbuan menerusi Op Cantas yang dijalankan selama dua hari bermula 19 Disember lalu.
"Pada 18 Disember lalu, polis menerima laporan berkaitan kejadian khianat dengan cara menconteng menggunakan cat berwarna merah di premis perniagaan yang terletak di kawasan Tampoi di sini.
"Susulan insiden dikesan tular di beberapa platform media sosial pada tarikh yang sama kejadian dilaporkan, kita melancarkan Op Cantas sebelum berjaya menahan semua suspek.
"Siasatan awal mendapati kumpulan ini bergiat aktif sejak November lalu serta mereka mengaku terbabit dalam enam lagi kes khianat dengan api dan simbah cat di kawasan Johor Bahru Utara, Seri Alam dan Iskandar Puteri," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Kumar berkata, ahli kumpulan itu mendapat upah antara RM500 hingga RM1,000 bagi melakukan khianat simbah cat.
Menurutnya, polis turut merampas sebuah Proton Saga BLM, dua motosikal, tujuh telefon bimbit pelbagai jenama, pakaian, satu topi besbol, empat topi keledar dan satu tin cat berwarna merah yang mempunyai kaitan dengan kes yang disiasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api atau benda letupan dengan niat mahu menyebabkan kerosakan harta selain Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
"Kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor dan pertuduhan dibuat di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini, terhadap tiga suspek, manakala suspek yang lain dijadikan saksi dengan mengikat bon di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah," katanya.