SEKUMPULAN calon menduduki Peperiksaan Penjawat Awam Kebangsaan di sebuah universiti di Hefei, wilayah Anhui tengah China pada 25 November 2012. FOTO fail CHINA Out/ AFP
Beijing: Seramai 3.4 juta belia China memohon menduduki peperiksaan perkhidmatan awam tahun 2024, jumlah tertinggi dalam sejarah negara itu.
Tarikan terhadap kestabilan pekerjaan seumur hidup, termasuk pelbagai faedah seperti subsidi perumahan, menjadi faktor utama di samping sektor swasta terjejas akibat kelembapan ekonomi dengan kadar pengangguran belia yang tinggi.
Bilangan pemohon meningkat lebih 400,000 berbanding tahun 2023 dan ia meningkat tiga kali ganda sejak 2014, mencerminkan permintaan Generasi Z untuk kestabilan, selain kekurangan peluang menarik dalam sektor swasta, walaupun kerajaan tempatan bergelut dengan krisis fiskal.
Klaire, seorang pelajar sarjana di Beijing, menghabiskan masa sembilan jam sehari untuk membuat persediaan menduduki peperiksaan yang terkenal sukar itu pada awal Disember lalu. Dia turut melaburkan 980 yuan (kira-kira RM600) bagi mendapatkan bimbingan dalam talian.
Menurut Klaire, faktor utama dia membuat permohonan kerja kerajaan adalah status sosial dan kestabilan.
"Pengalaman menyaksikan rakan sekerja diberhentikan semasa latihan di sektor teknologi turut mendorong keputusan. Saya hanya mahu lulus peperiksaan ini dan tidak perlu risau tentang masa depan," katanya.
Walaupun dia menyedari ada penjawat awam yang tidak menerima gaji selama berbulan-bulan, Klaire masih memilih pekerjaan kerajaan kerana bukan niatnya mengejar kekayaan tetapi lebih menghargai kestabilan.
Jika lulus, Klaire perlu melalui temu duga dan pemeriksaan latar belakang politik serta kesihatan, dengan keputusan akhir dijangka keluar April ini.
Pekerjaan dalam perkhidmatan awam di China sering digelar 'mangkuk nasi besi' ('iron rice bowl') kerana pemberhentian kerja jarang berlaku kecuali atas kesalahan disiplin.
Jawatan dalam sektor awam menarik perhatian graduan kerana menawarkan faedah seperti subsidi perumahan dan insurans sosial, walaupun kebanyakan jawatan mempunyai had umur 35 tahun.
China juga berdepan desakan untuk merombak sektor awam yang terlalu besar. Walaupun pelbagai kempen pengecilan saiz dilakukan, bilangan pekerja sektor awam terus meningkat daripada 6.9 juta pada 2010 kepada lapan juta masa ini, dengan puluhan juta lagi dalam sektor awam yang lain.
Disiarkan pada: Januari 1, 2025
|