Projek LRT Pulau Pinang bernilai RM10.5 bilion bermula bulan ini
Oleh Hazwan Faisal Mohamad - Januari 2, 2025 @ 12:31pm [email protected]
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/PG101224MO014_1735792237.jpg)
Projek LRT Pulau Pinang merangkumi jarak 29 kilometer mempunyai 21 stesen - NSTP/MIKAIL ONG
KUALA LUMPUR: Majlis pecah tanah projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang dijadual akan diadakan di Bandar Sri Pinang pada 11 Januari ini yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penganalisis CIMB Securities, Mak Hoy Ken, berkata kerja-kerja persiapan tapak acara berkenaan seperti pembersihan kawasan, pemasangan khemah, dan penyediaan infrastruktur sementara seperti pagar dan jalan akses akan dilaksanakan sehingga 10 Januari ini.
"Memetik kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang melaporkan pada November 2024 bahawa projek ini akan bermula pada 2025, tertakluk kepada penyelesaian rundingan mengenai reka bentuk akhir dan kos terperinci.
"Keseluruhan projek rel bandar ini yang pertama untuk Pulau Pinang, dijangka siap menjelang tahun 2030 dan dianggarkan menelan belanja lebih RM10.5 bilion," katanya dalam satu nota penyelidikan, semalam.
Beliau menambah, di bawah kelolaan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), kerja-kerja infrastruktur sivil bagi Laluan Mutiara, yang mewakili segmen pertama projek LRT Pulau Pinang, merangkumi jarak 29 kilometer mempunyai 21 stesen, dan dianggarkan menelan kos sekitar RM8 bilion.
"20 daripada stesen Laluan Mutiara akan terletak di Pulau Pinang dan Pulau Silikon buatan manusia, manakala satu lagi di Penang Sentral di tanah besar.
"Tertakluk kepada proses pengambilan tanah, sembilan stesen akan dilengkapi kemudahan 'park-and-ride' dengan anggaran 1,100 ruang parkir disediakan iaitu Permatang Damar Laut, Jalan Tengah, Bukit Jambul, Sungai Dua, Jalan Universiti, Penang Sentral, Gelugor, Sungai Pinang, dan Bandar Sri Pinang.
"Jajaran Laluan Mutiara bermula dari Pulau Silikon dan kemudian melanjut ke arah utara melalui lokasi-lokasi utama, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Zon Perindustrian Bebas (FIZ), Setia SPICE Arena, dan Komtar.
"Pulau Silikon kini sedang dibangunkan melalui usaha sama antara Konsortium SRS (60 peratus dimiliki oleh Gamuda Bhd, manakala baki 40 peratus dimiliki secara sama rata oleh Ideal Properties dan Loh Phoy Yen) dan Penang Infrastructure Corp yang disokong oleh kerajaan negeri," katanya.
Pada awal Disember 2024, kerja-kerja penambakan untuk sebahagian Pulau Silikon yang akan menempatkan Depoh Laluan Mutiara, tonggak utama rangkaian pengangkutan Pulau Pinang, telah mencapai dua hektar.
Keseluruhan kawasan seluas 24 hektar yang dikhaskan untuk depoh dijadualkan siap ditambak menjelang akhir 2025.
Hoy Ken berkata, daripada tiga segmen utama LRT Pulau Pinang, kerja-kerja infrastruktur sivil Laluan Mutiara akan diberi keutamaan kerana telah mendapat komitmen pembiayaan daripada kerajaan persekutuan.
"Struktur untuk segmen kedua, yang membabitkan hubungan silang di antara Bayan Lepas dan Penang Sentral, masih belum dimuktamadkan dari segi aspek utama seperti pembiayaan.
"Bagi segmen ketiga dan terakhir, proses tender untuk melantik kontraktor utama bagi kerja-kerja berkaitan sistem (termasuk 'rolling stock') telah dimulakan pada awal Disember 2024 dengan tarikh akhir penyerahan tender ditetapkan pada 4 April 2025," katanya.
https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2025/01/1343893/projek-lrt-pulau-pinang-bernilai-rm105-bilion-bermula-bulan-ini
|