’11 jahitan di kepala, saya koma selama dua setengah hari’
Oleh HANISAH SELAMAT
6 Januari 2025, 8:56 am
Peserta program realiti, One In A Million (CSOIAM) Rezza pernah koma dua setengah hari akibat kemalangan – MOHD. FIRDAUS MOHD. FIRDAUS
SHAH ALAM – Pernah koma dua setengah hari akibat kemalangan jalan raya berlaku dua tahun lalu, peserta Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) Rezza Shah berdepan masalah kurang daya ingatan yang membuatkannya mudah lupa.
Rezza atau nama sebenarnya Muhammad Shahrezza, 22, mengakui insiden tragik membabitkan kereta dinaiki bersama seorang rakannya pada akhir 2023 memberi kesan kepadanya untuk jangka panjang.
“Kenderaan dipandu kawan saya dirempuh sebuah Mercedes Benz sebelum dilanggar sebuah kereta lain yang mengakibatkan kami terus dikejarkan ke hospital.
“Rakan saya cedera tulang selangka manakala saya tidak mengalami luka luaran kecuali pada kepala yang memerlukan 11 jahitan seterusnya koma selama dua setengah hari.
“Apabila sedar saya tidak ingat apa yang berlaku malah sepanjang setahun selepas kemalangan juga banyak peristiwa saya sukar untuk ingat termasuk perkara baharu,” katanya selepas konsert minggu ketiga CSOIAM di Studio TV3 Glenmarie, malam tadi.
Anak jati Kuching, Sarawak itu berkata, bukan hanya berdepan masalah ingatan, kebolehan pertuturan juga berubah apabila percakapannya menjadi pelat.
Masih dalam proses pemulihan, Rezza berharap dapat segera pulih seperti keadaan dulu, namun tetap bersyukur diberi peluang untuk menjalani kehidupan bersama keluarga.
“Kalau tengok keadaan kereta yang kami naiki memang orang takkan sangka kami masih hidup, sekali gus hanya syukur yang mampu saya ucapkan.
“Waktu itu jika tengok luaran saya macam tidak mengalami kecederaan teruk tapi mungkin kepala saya terhentak kuat yang menyebabkan pertuturan saya turut terjejas.
“Apa pun kejadian ini menginsafkan kerana dengan izin Allah saya sedar semula daripada koma walaupun masih perlu menjalani terapi. Ibaratnya saya mendapat peluang kedua,” ujarnya.
Menyentuh kemaraan untuk konsert minggu keempat CSOIAM selepas dua peserta tersingkir malam tadi, Rezza berterima kasih atas sokongan ramai termasuk peminat pertandingan realiti itu yang mengundinya.
Biarpun berdepan cabaran, layak mara pada Ahad depan bersama lapan peserta lain merupakan petanda untuknya terus menonjolkan kemampuan bakat dan vokal.
“Bagi membolehkan saya tidak terlupa, saya banyak membuat catatan terutama sepanjang berada dalam program ini kerana dari situ saya dapat mengingati input penting,” katanya.
Dalam kejadian yang berlaku di Taman Midah itu, Rezza dimasukkan ke Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), Cheras manakala rakannya Azumi Shazani, 25, dirawat di Hospital Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE
REZZA ketika menerima teguran daripada Yusry dan Ziana.
Shah Alam: Minggu keempat program realiti Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) mencuri perhatian apabila persembahan pembukaan daripada peserta, Rezza Shah menerima teguran keras daripada juri tetap, Datuk Yusry Abdul Halim dan Ziana Zain.
-Advertisement-
Yusry menyatakan dia kesal kerana pernah memberikan imuniti kepada Rezza untuk menyelamatkannya daripada penyingkiran pada minggu pertama CSOIAM.
Selain itu, dia turut mendakwa peserta terbabit menghadapi masalah disiplin di luar pentas.
"Persembahan anda setiap minggu ada jadi, ada tak. Juri tahu masalah disiplin awak di luar. Terus terang saya katakan, saya menyesal bagi imuniti dekat awak.
"Peluang patut bagi kepada peserta lain yang sudah terkeluar, saya harap semua orang berdisiplin. Walaupun suara awak sedap, tapi disiplin sangat penting," katanya ketika memberikan komen.
Ziana pula menyifatkan ini adalah persembahan terburuk Rezza sepanjang empat minggu CSOIAM berlangsung.
"Apa jadi dengan awak? Ini adalah minggu awak paling teruk. Dari hari pertama masuk sini awak dah kena fokus. Juri sekarang pecah kepala kena fikir, tempo dalam nyanyian lari.
"Menyanyi tiada semangat, saya tak rasa langsung tenaga awak. Awak nyanyi macam nak tak nak sahaja. Tak ada semangat, tolong jadi serius," katanya.
Komen lantang daripada daripada Yusry dan Ziana menjadi tamparan hebat buat Rezza, meskipun persembahannya pada minggu keempat yang bertemakan Sinergi Muzik mendapat sorakan kuat daripada penonton di studio.
Suasana tegang itu mengejutkan penonton di Studio TV3, Glenmarie, yang kelihatan tergamam dengan kritikan pedas dan kekecewaan terhadap peserta berusia 23 tahun itu.
Dalam pada itu, juri tetap dari Indonesia, Cakra Khan dalam komennya menyifatkan suara Rezza kedengaran penat.
"Saya dengar suara kamu memang terlihat penat. Tempo itu mempengaruhi sekali untuk persembahan pembuka acara ini. Saya harap kamu boleh lebih baik daripada ini," katanya.
Menerusi konsert minggu keempat CSOIAM, Rezza menyampaikan lagu Kembali Merindu nyanyian asal Slam dan Seragam Hitam (Kristal) secara medley.
Terdahulu, pada konsert minggu pertama terdapat 'drama' terjadi apabila Rezza yang pada awal tersingkir diselamatkan dengan 'imuniti' daripada ketiga-tiga juri tetap.