ORANG ramai meluangkan masa bersama keluarga di Zoo Johor berikutan peralihan cuti hujung minggu Johor kepada Sabtu dan Ahad. FOTO Izz Laily Hussein
Johor Bahru : "Anak-anak ingat siap pagi-pagi nak pergi sekolah, bila beritahu nak pergi zoo, semua 'happy'," kongsi pekerja swasta, Amirah Ismail, 40.
Wanita itu berkata, dia mengambil peluang terus membawa empat anaknya mengambil angin ke Zoo Johor pada hari ini yang juga hari Ahad pertama selepas peralihan cuti minggu negeri ini ke Sabtu dan Ahad.
Katanya, dia bekerja separuh hari pada Sabtu dan bercuti minggu pada Ahad sebelum ini dan agak sukar meluangkan masa membawa anak-anak berjalan kerana mereka bersekolah pada Ahad.
"Sebelum ini, memang tak ada masa yang panjang nak keluar berjalan. Alhamdulillah, dah tukar cuti ini, hari ini juga saya terus bawa anak-anak berjalan," katanya yang datang seawal jam 10 pagi di Zoo Johor bersama suami dan empat anaknya.
Tinjauan ke beberapa lokasi tumpuan hari ini termasuk Zoo Johor, Hutan Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) dan pusat beli-belah mendapati semuanya dikunjungi ramai orang.
Ia berikutan Johor menukar cuti hujung minggu negeri daripada Jumaat dan Sabtu kepada Sabtu dan Ahad, sekali gus menyeragamkan cuti mingguan bagi yang bekerja dan cuti hujung minggu persekolahan, bermula awal tahun ini.
Sementara itu, Aziz Muhammad, 42, yang bekerja di Singapura berkata, anak-anaknya teruja dan tidak sabar hendak makan angin selepas mendapat tahu mengenai pertukaran cuti minggu negeri ini.
"Bila tukar cuti hujung minggu ini, banyak beri kesan baik terutamanya bila anak-anak dengan saya cuti pun sama.
"Dulu cuti tak sama dengan anak-anak susah nak rancang makan angin, tetapi sekarang mudah, setiap Sabtu dan Ahad boleh jalan-jalan.
"Anak-anak sejak dua tiga minggu lepas dah sibuk ajak jalan hari Ahad, mereka gembira," katanya yang meluangkan masa membawa anak-anaknya mandi-manda di Hutan Bandar MBJB di sini.
Disiarkan pada: Januari 5, 2025
|