MBOR: Jacky menerima sijil MBOR yang disampaikan pegawai MBOR. Turut kelihatan, Chin (kiri) dan Desmond (dua kanan).
KENANGAN: Jacky merakamkan gambar kenangan bersama tetamu jemputan lain.
SEMANGAT: Jacky bersama kakitangan DCH.
SEDAP: Hidangan kari kepala ikan yang popular di DCH.
KOTA KINABALU: Restoran Delicious Curry House (DCH) menerima Anugerah Sijil Malaysia Book of Records (MBOR) selepas berjaya menjual hidangan kari kepala ikan terbanyak dalam sehari pada 8 Januari.
Sebanyak 1,972 hidangan berjaya dijual bermula jam 11 pagi dan berakhir sebelum jam 2 petang dengan harga jualan berharga RM10.80 satu set yang dihidangkan bersama kari kepala ikan dan nasi.
Sijil Pengiktirafan MBOR disampaikan kepada pemilik DCH Jacky Lim oleh Pegawai MBOR, Megat Faris Megat Muzaffar dan Menaga Vadamalai.
Hadir sama menyaksikan majlis penyerahan ialah Desmond Chan yang mewakili Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan Jannie Lasimbang serta rakan kongsi Chin Mei Foo.
Desmond berkata, kejayaan ini adalah pencapaian luar biasa yang berjaya mencatat sejarah di dalam perniagaan DCH itu sendiri.
“Penjualan hidangan kari kepala ikan sehingga 1,972 set dalam tempoh kurang sehari bukan sahaja pencapaian kepada usahawan tetapi juga untuk orang Sabah sendiri.
“Rekod yang dicapai hari ini meletakkan Sabah khususnya Luyang di peta kebangsaan mahupun antarabangsa seiring usaha Phoong baru-baru ini semasa sambutan tahun baharu dalam mempromosikan dan mengharumkan nama Sabah di pentas antarabangsa.
“Pencapaian ini juga salah satu faktor dalam menarik pihak pelabur dan pelancong luar datang ke Sabah seterusnya memberi nilai tambah dan manfaat kepada masyarakat Sabah itu sendiri,” katanya.
Beliau juga menyokong agar DCH akan merekodkan kejayaan yang lagi besar selepas ini yang bukan hanya memberikan kejayaan kepada perniagaan DCH tetapi turut membawa inspirasi kepada kedai dan usahawan di lain Sabah.
Sementara itu, Jacky ketika ditemui berkata, tujuan utama program ini diadakan bagi mengangkat sektor makanan dan minuman (FNB) di Sabah ke peringkat yang lebih tinggi iaitu nasional dan antarabangsa.
“Usaha ini bukan sahaja akan membawa makanan Sabah yang terkenal dengan konsep makanan laut segar dengan lebih meluas bukan sshaja ke serata semenanjung malah ke seluruh negara.
“Pada masa sama kita juga ingin memperkukuh lagi agar makanan masakan kari yang sinonim dalam Malaysia lebih dikenali seterusnya menyokong usaha kerajaan meningkatkan bilangan pelancong ke dalam negara dalam program tahun melawat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, pihan DCH dan rakan kongsi serta kumpulannya melakukan persiapan dalam tempoh dua bulan sahaja untuk menjayakan program ini.
“Saya sangat gembira kerana semua persiapan berjalan lancar sehingga kita berjaya memperoleh anugerah sijil MBOR dan saya berterima kasih dengan kakitangan DCH dan rakan kongsi yang banyak menyumbang tenaga sepanjang program ini.
“Pada masa hadapan DCH juga merancang untuk melakukan program lebih besar iaitu membuka cawangan DCH di semenanjung Malaysia dan mencapai tempat nombor satu bagi hidangan kari berasaskan makanan segar dalam negara,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Yang Dipertua Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) cawangan Sabah merangkap Ketua Biro Pembangunan Industri Halal Rosnani Tallesang berkata, pihaknya mengalu-alukan syarikat atau perusahaan yang ingin mencapai kejayaan seumpama.
“Inisiatif ini memberi peluang kepada pengguna untuk membuat lebih banyak pilihan dan MTPN juga menghargai dan menyambut baik usaha ini, diharap lebih banyak perniagaan yang akan mengikuti usaha ini pada masa hadapan,” katanya.
|