MIRI: Mahkamah Majistret hari ini menetapkan 17 Januari ini untuk sebutan lanjut kes dua sahabat yang dituduh melakukan rompakan berkumpulan dan bersenjata dengan merompak seorang wanita, awal bulan ini.
Sehubungan itu, kedua-dua tertuduh diperintahkan dibebas dengan jaminan RM10,000 berserta dua penjamin tempatan setiap seorang sementara menunggu tarikh tersebut.
Aswandi Othman, 41, dan Mohd Zulhisham Faizul, 26, masing-masing dari Kampung Tudan Fasa 2 dan Tudan Desaras di sini, telah didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dihukum di bawah Seksyen 397 kanun yang sama.
Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda serta sebat, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh telah didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan sebilah parang untuk merompak wang tunai berjumlah RM1,300 daripada Nancy Beremes John, 32.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.30 pagi, 4 Januari lalu di sebuah kedai runcit di Lorong Mulia 2, Tudan Fasa 2 di sini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan bersalah kedua-dua tertuduh direkodkan.
Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong menerusi sidang Zoom di hadapan Majistret Sandy Yvette Freddy.
|