Kluang: Lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas memasuki kebun kelapa sawitnya di Batu 17, Kahang, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pengawal keselamatan di kebun berkenaan mengatakan motosikal mangsa, Lee Siew Hat, 73, direkod masuk pada 9.12 pagi dan keluar pada 11.13 pagi.
Menurutnya, polis menerima aduan daripada isteri mangsa pada 4.30 petang semalam mengatakan suaminya tidak pulang sejak pagi selepas keluar untuk pergi melihat kebunnya.
"Sepasukan anggota Balai Polis Kahang dan sukarelawan Bomba Kahang membantu mencari suami pengadu di dalam kawasan kebun Batu 17, namun gagal.
"Pencarian masih diteruskan termasuk menggunakan khidmat anjing pengesan di sekitar kawasan kebun berkenaan yang sangat luas dan mempunyai banyak laluan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, pihaknya kini menambah keanggotaan dengan bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi berkenaan.
Terdahulu, kes berkenaan tular di media sosial hingga mendapat simpati ramai.