MAHMUD Abbas. FOTO AFP
Baitulmaqdis: Presiden Palestin Mahmud Abbas mengucapkan tahniah kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump atas pelantikannya pada Isnin dan menyatakan kesediaan bekerjasama untuk perdamaian dengan Israel berdasarkan penyelesaian dua negara.
"Kami bersedia untuk bekerjasama dengan kamu untuk mencapai keamanan sepanjang tempoh kamu, berdasarkan penyelesaian dua negara," kata Mahmud dalam satu kenyataan yang diterbitkan oleh agensi berita rasmi Wafa.
Mahmud berkata, ia bermaksud Palestin dan Israel hidup berdampingan dengan selamat dan aman.
Dalam penggal pertama presidennya, dari 2017 hingga 2021, pentadbiran Trump menyusun cadangan damai yang membabitkan Israel akan menjajah sebahagian Tebing Barat yang diduduki, sambil menyerahkan beberapa wilayah kepada Palestin pada masa depan sebagai balasan.
Palestin menolak keras cadangan itu, dan Israel meninggalkan rancangan pengilhakannya apabila negara Teluk Arab menormalisasikan hubungan dengannya di bawah perjanjian yang diuruskan oleh AS.
Trump mengambil kredit untuk mendapatkan perjanjian gencatan senjata dalam perang Israel-Hamas di Gaza.
Utusan Timur Tengahnya, Steve Witkoff mengambil bahagian dalam rundingan yang akhirnya menghasilkan perjanjian berkuat kuasa pada Ahad lalu.
Penyelesaian dua negara menjadi asas kepada rundingan damai antara Israel dan Palestin sejak beberapa dekad lalu, namun Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berulang kali enggan menerima Palestin yang merdeka.
Netanyahu juga menolak sebarang peranan untuk Pihak Berkuasa Palestin (PA) berpangkalan di Ramallah, yang dipimpin oleh Mahmud, di Gaza selepas perang.
Jumaat lalu, Mahmud berkata, PA bersedia untuk memikul tanggungjawab penuh untuk Gaza.
Disiarkan pada: Januari 21, 2025
|