Alor Setar: Polis mengesahkan beberapa individu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk membantu siasatan berhubung kebakaran sebuah rumah di Tongkang Yard, yang mengorbankan
dua lelaki, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap insiden kebakaran itu dan menunggu keputusan asid deoksiribonukleik (DNA)
dua mayatyang rentung dalam kejadian itu.
"Setakat ini, kedua-dua mayat terbabit belum dikenal pasti identitinya dan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tujuan bedah siasat.
"Ia juga bertujuan untuk proses perbandingan DNA bagi mengenal pasti identiti sebenar mangsa," katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Siti Nor Salawati berkata, sepasukan pegawai dari Unit Forensik (D10) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah turut dipanggil ke lokasi untuk menjalankan siasatan lanjut bersama pasukan Forensik Bomba.
Katanya, siasatan masih lagi dijalankan sementara menunggu laporan penuh bedah siasat termasuk laporan punca kebakaran daripada Unit Forensik Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat.
"Buat masa ini, kes masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.