|
Tiba-tiba, nama penyanyi ini 'panas' gara-gara dikaitkan sebagai 'suspek' dalam apa yang didakwa gosip membabitkan seorang peserta program realiti televisyen (TV) yang dikatakan bersekedudukan dengan suami orang.
Entah bagaimana, Nadeera Zaini yang pernah beberapa kali menyertai program realiti antaranya terbitan TV3, iaitu Vokal... Bukan Sekadar Rupa pada 2012 dan Mentor Legend (2014), terpalit dalam kontroversi itu.
Selama ini dikenali sebagai bakat pelapis berimej bersih, Nadeera atau nama sebenar, Farah Nadeera Zaini, 31, menafikan dakwaan itu.
"Saya tiada komen. Orang itu bukanlah saya. Saya nafikan sekeras-kerasnya... Diri ini tiada kena mengena dengan kisah itu.
"Sesungguhnya, saya tidak tahu cerita ini. Malah, perkara ini tiada kena mengena dengan hidup saya.
"Saya hanya fokus kepada kerjaya. Saya mahu merealisasikan impian dan harapan ibu bapa," katanya kepada BH Online.
Baru-baru ini, Liza Aziz menamakan Nadeera sebagai antara vokalis baik. Nadeera berkata, dia berterima kasih atas pujian yang diberi.
"Alhamdulillah, saya gembira. Saya bersyukur atas rezeki yang Allah berikan.
"Tahun lalu sudah berlalu dengan sangat baik buat karier saya. Pada tahun ini, saya berharap akan jadi lebih baik demi perjalanan seni," katanya.
Bakal mempertaruhkan lagu Bukan Lagi Kita di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-39, Nadeera berkata, persiapan untuk AJL 39 lancar.
"Cuma saya lebih fokus untuk menjaga kesihatan mental dan fizikal.
"Selepas lagu Bukan Lagi Kita melonjakkan nama saya, sudah semestinya mahu terus lancarkan karya baharu dengan lebih banyak," katanya.
Sumber : - Berita Harian
|
|