|
ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan harga lantai belian padi sepatutnya ditetapkan pada kadar sekurang-kurangnya RM1,600 per tan berbanding RM1,500 yang diumumkan kerajaan hari ini.
Beliau berkata, harga lantai belian padi pada kadar RM1,500 per tan yang diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di Parlimen adalah kos minimum input yang terpaksa ditanggung petani.
Katanya, harga lantai baharu itu dilihat masih tidak sepadan dengan kos yang terpaksa ditanggung petani berikutan berlaku kenaikan input pertanian yang ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"Saya rasa kadar minimum sepatutnya RM1,600 per tan, harga ini (RM1,500) masih di bawah kos. Kerajaan kena kawal harga input pertanian, kena kuat kuasa harga baja, racun bagi murah, baru petani dapat tampung.
"Kena sepadankan harga lantai dengan harga input pertanian. Kalau harga lantai padi dapat dikawal, kenapa harga input tak dapat dikawal?" katanya pada sidang media selepas hadir Majlis Amanat 2025 Menteri Besar Kedah Kepada Pentadbiran Tanah Negeri di Seri Mentaloon di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, menjadi harapan petani supaya harga lantai belian padi dapat ditetapkan pada kadar RM1,800 per tan seperti yang dituntut mereka selama ini bagi menampung kos input pertanian.
Katanya, apa yang menyebabkan petani terbeban selama ini adalah disebabkan kos input pertanian yang meningkat setiap tahun, tetapi harga lantai belian padi kekal rendah sehingga mereka mengalami kerugian.
"Kerajaan kena usaha kurangkan kos, bagi subsidi diesel, racun dan baja. Tak dapat harga RM1,800 per tan maka input pertanian kena murah baru boleh balik modal. Masalahnya kos meningkat tetapi harga lantai tak meningkat.
"Kos input pertanian tinggi, harga lantai rendah, sebab itu orang bising. Kalau petani boleh cari makan, mereka tak akan bising. Harapan orang tinggi sampai tak tuai padi, tunggu harga dulu baru nak tuai," katanya.
Terdahulu, Kerajaan Persekutuan bersetuju menyelaras harga lantai padi kepada RM1,500 per tan berbanding RM1,300 per tan sebelum ini berkuat kuasa 16 Februari depan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohmad Sabu juga mengumumkan harga beras putih tempatan kekal pada RM2.60 sekilogram, yang mana kos pengeluaran sebanyak RM150 juta akan diserap kerajaan untuk tempoh enam bulan ini.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan penerangan khas berkaitan isu beras dan harga lantai padi di Dewan Rakyat hari ini.
Kredit -– BH |
|