IBU memeriksa anaknya yang disangka sedang belajar, rupanya hanya patung kain. FOTO Agensi.
Beijing: Seorang budak perempuan mengagumkan netizen China apabila menggunakan cara kreatif untuk mengelak daripada belajar.
Dia menggantikan dirinya dengan patung yang diperbuat daripada pakaian, agar kelihatan sepertinya apabila ibunya datang meninjau, lapor SCMP.
Budak yang tidak didedahkan identiti itu mencipta 'pengganti' itu dengan memakaikan ia jaket kuning dan topi, lalu diletakkan di atas kerusi di meja belajar.
Kisah itu dikongsi ibu bapanya dari Yangzhou, wilayah Jiangsu menerusi video yang dimuat naik ke media sosial China pada 8 Februari lalu.
Rakaman menunjukkan patung itu didudukkan tegak atas kerusi, kelihatan seperti seorang pelajar yang tekun mengulang kaji pelajaran, sedangkan anak perempuan mereka sebenarnya sedang bermain di tempat lain berdekatan.
Apabila rahsia terbongkar, kanak-kanak itu dengan selamba berkata, "saya juga sedang belajar di sini."
"Ibu bapa ada peraturan, tetapi anak-anak ada cara mereka sendiri (untuk melanggar). Saya suruh dia belajar dan buat kerja sekolah, tetapi dia letakkan patung di situ," kongsi ibu kanak-kanak itu.
Terdahulu, si ibu memeriksa bilik anak perempuannya selepas mendapati keadaan senyap sebelum menemui 'pelajar palsu' itu di di meja belajar anaknya.
"Saya fikir dia tertidur, jadi saya masuk ke bilik dengan perlahan untuk mengejutkannya. Tetapi apabila saya menghampiri, baru saya sedar ia hanyalah patung berpakaian lengkap.
"Rasa nak marah dan masa sama kelakar juga. Tak terkata apa-apa saya," katanya.
Sebagai hukuman, wanita itu mengarahkan anaknya menulis karangan mengenai helah yang digunakannya.
Di China, tekanan tinggi dalam sistem pendidikan serta persaingan hebat untuk memasuki universiti sering menyebabkan pelajar diberi banyak kerja sekolah, segelintir kanak-kanak pula cuba mencari jalan mengelak daripada belajar berterusan.
Netizen yang terhibur dengan kepintaran budak itu memuji kebijaksanaan dan daya kreatifnya.
"Ini dipanggil teknik muncul di dua tempat pada satu masa. Budak ini memang genius," kata seorang pengguna media sosial.
sumber: hmetro