Treler seret kereta dinaiki nenek, 4 cucu dan pembantu rumah
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Februari 15, 2025 @ 9:42pm [email protected]

Keadaan Perodua Myvi dinaiki enam mangsa yang diseret treler di simpang tiga dekat Singkir, Yan. - Foto ihsan pembaca
YAN: Berpantang maut sebelum ajal - Itu berlaku kepada seorang wanita berusia 70 tahun bersama empat cucunya serta pembantu rumah yang terselamat selepas Perodua Myvi dinaiki mereka diseret treler.
Kejadian berlaku kira-kira jam 5.20 petang tadi ketika kenderaan dipandu wanita warga emas itu dari arah Yan menuju Tanjung Dawai membelok untuk memasuki simpang tiga dekat Singkir, di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Yan, Asisten Superintendan Musa Rabien, ketika itu sebuah treler dari arah bertentangan tidak sempat berbuat apa-apa dan terus mengheret Perodua Myvi berkenaan sehingga masuk ke sebuah kedai runcit.
"Mujur pemandu treler sempat menekan brek menyebabkan impak kemalangan tidak berapa kuat.
"Ketika kejadian ada enam orang dalam kereta termasuk empat kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun," katanya ketika dihubungi.
Musa berkata, mereka kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani.
"Pemandu treler tidak cedera dan lelaki itu bersama kedua-dua kenderaan terbabit kemalangan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Yan untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/02/1361759/treler-seret-kereta-dinaiki-nenek-4-cucu-dan-pembantu-rumah