|
Menjanda buat kali ketiga, penyanyi Farah Asyikin mengakui sudah dua tahun bercerai dengan bekas suami, Raja Iskandar Raja Muktharuddin selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Bagaimanapun, Farah atau nama sebenarnya Farah Asyikin Zulkifli, 45, berkata hubungan mereka masih baik, malah kekal profesional menguruskan perniagaan restoran bersama di Petaling Jaya, Selangor.
“Ya, sudah cerai. Sudah masuk dua tahun. Tapi kami masih berkawan. Saya perlu kuat sebab bukan mudah melalui situasi ini.
“Orang selalu hairan, macam mana kami boleh kekal bekerja bersama. Tapi saya tak mahu mulakan semula dari awal. Restoran ini hasil usaha kami bersama.
“Saya kena fikir anak saya. Dia sedang menghafal al-Quran, komitmen itu besar. Jadi, saya cuba elak perkara tak perlu. Saya tak suka bergaduh atau konflik. Lebih baik jalan terus,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ditanya mengenai status perceraian yang hanya dikongsi selepas dua tahun, pelantun Kembali Lagi Di Sisimu itu tidak melihat sebarang sebab untuk mencanang perpisahan tersebut.
“Saya rasa tak penting untuk bercerita kalau orang tak tanya. Tapi apabila ditanya, saya jawab.
“Saya cuma enggan timbulkan fitnah atau spekulasi. Jadi, lebih baik berdiam diri,” jelasnya pada majlis 17 Hills Restaurant Humble Ramadhan Media Review, di sini, semalam.
Meskipun sudah tiga kali gagal dalam perkahwinan, ibu kepada seorang anak itu tidak melihatnya sebagai kegagalan, sebaliknya lebih kepada ujian hidup.
“Setiap orang ada cabaran masing-masing. Ada yang belajar bersungguh-sungguh tapi tetap tak dapat keputusan terbaik.
“Saya pun begitu. Siapa yang kahwin nak bercerai? Tapi saya percaya, ujian ini sudah ditetapkan Allah. Hidup dengan Iskandar, tujuh tahun. Alhamdulillah, banyak perkara yang saya belajar.
“Kena terima dan kuat. Ada orang kehilangan anak tapi ada suami. Saya pula ada anak, tapi tiada suami,” luahnya.
Bagaimanapun, bekas peserta One In A Million musim pertama itu tidak pernah serik untuk berkahwin lagi seandainya dikurniakan jodoh.
“Saya tak serik berkahwin lagi. Banyak cabaran dalam hidup saya, tapi semuanya mematangkan saya.
“Saya sudah ada persediaan. Kali ini, saya lebih kuat dan tidak terburu-buru. Itu saja,” katanya.
Terdahulu, Farah pernah berkahwin dengan Dr. Fariz Yahya pada 2007, tetapi rumah tangga mereka hanya bertahan setahun.
Kemudian, dia bernikah dengan lelaki Afrika Selatan, Zahir Stanley pada 2013 sebelum bercerai pada 2015.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata lelaki, Ebrahim Owais pada Mac 2014.
Pada 2017, Farah mendirikan rumah tangga dengan Raja Iskandar, seorang pengurus besar syarikat minyak dan gas, namun perkahwinan tersebut berakhir pada 2023.
Sumber: Kosmo
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|