Peniaga cari pelanggan beli martabak 50 keping tapi ‘bayaran’ hilang
Oleh KOSMO!
3 Mac 2025, 5:22 pm
Peniaga Murtabak Manja meminta pelanggan yang membeli 50 keping martabak dari gerainya semalam untuk tampilkan diri kerana tiada pembayaran direkodkan.
PETALING JAYA – Seorang peniaga Bazar Ramadan Bandar Jerantut, Pahang sedang mengesan seorang pelanggannya yang membeli 50 keping martabak di gerainya semalam, namun tiada transaksi pembayaran direkodkan di dalam sistem.
Menerusi hebahan yang dimuat naik di kumpulan Facebook, Jerantut Viral hari ini oleh pemilik akaun Dik Yana, pemilik gerai Murtabak Manja meminta pelanggan terbabit tampil menghubunginya atau terus ke gerai.
“Assalamualaikum. Maaf sebelum itu, saya nak cari kakak perempuan yang beli dengan Murtabak Manja 50 keping semalam 1 Ramadan.
“Berkenaan bayaran secara ‘transfer’, tak ada dalam sistem. Tapi kami cam muka kakak. Tolong ya kakak muncul kan diri. Hubungi saya atau ke Murtabak Manja,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai peniaga berkongsi pengalaman sama apabila ditipu oleh pelanggan.
“Bila berniaga bazar Ramadan atau pasar malam, waktu pelanggan ramai memang tak sempat nak semak transaksi pembayaran setiap pelanggan. Kadang bila selesai berniaga, semak semula ada yang tak bayar. Soal makan jadi darah daging pun ada yang menipu,” kata Aisyah.
“Ini yang bahaya bayar guna QR (bayaran secara dalam talian). Naya 50 keping ‘percuma’ macam itu sahaja,” ujar Firdaus. – KOSMO! ONLINE
|