CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 14152|Reply: 0

Bersahurlah di dalamnya penuh keberkatan

[Copy link]
Post time 6-3-2025 01:01 PM | Show all posts |Read mode

Amalan sunat dan sunah Rasulullah SAW yang seharusnya kita praktikkan secara bersungguh-sungguh semasa berpuasa pada setiap Ramadan ialah bersahur.

Sebut sahaja bersahur, ada segelintir daripada kita yang ambil ringan sahaja malah ada juga yang langsung tidak mengendahkan amalan bersahur atas alasan ia hanyalah berupa amalan sunat.

Persoalannya, kita begitu rajin dan aktif berseronok untuk hadir ke masjid atau surau mengerjakan solat tarawih. Solat tarawih pun dalam kategori sunat juga. Jadi, mengapa hal bersahur itu kurang dianggap penting untuk dihayati sebagaimana bersolat tarawih? Banyak keterangan daripada Rasulullah SAW tentang gesaan agar kita mengamalkan bersahur. Antaranya, kata Nabi SAW: "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur" - (Hadis Riwayat at-Tabrani). Ini seharusnya menjadikan kita bersemangat kuat untuk kita sekeluarga bangun bersahur. Bayangkanlah selalu waktu kita semua bersahur itu dilangkungi dengan rahmat Allah dan para malaikat-Nya. Beruntungnya kita.

Dikisahkan ada sahabat yang menziarahi Nabi SAW sewaktu Baginda sedang bersahur, lalu kata Nabi SAW kepada sahabatnya: "Inilah perkara yang penuh keberkatan yang dikurniakan Allah. Jangan ditinggalkan" - (Hadis riwayat Abdullah Haris). Ada satu lagi pesanan Nabi SAW tentang bersahur ini. Kata Baginda: "Barang siapa yang akan puasa hendaklah dia makan sahur, sekalipun hanya sedikit" - (Hadis riwayat Jabir). Tengok tu, Nabi berpesan bersahurlah walaupun dalam kadar sedikit sahaja. Kata Nabi SAW lagi: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya sentiasa berdoa kepada kepada orang yang bersahur" - (Hadis riwayat Ahmad). Manakala Anas bin Malik pula ada merekodkan bahawa Rasulullah SAW ada berpesan: "Bersahurlah kalian, kerana di dalam sahur terdapat barakah" - (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, at-Tirmidzi, an-Nasa'i dan Ibnu Majah). Tentu ada hikmah lain selain mendapat rahmat dan berkat dari Allah.

Ibnu Hajar ada mengupas berkenaan bersahur itu. Katanya dalam amalan bersahur terangkum banyak sekali hikmahnya. Antaranya kata beliau ialah dengan bersahur kita membezakan diri kita dengan cara berpuasa ahli Kitab kerana mereka tidak melakukannya. Hal itu sesuai dengan sabda Nabi SAW: "Perbezaan antara puasa kita dengan puasa ahli Kitab adalah makan sahur" - (Hadis Riwayat an-Nasa'i dan Ahmad-Hadis yang sanadnya sahih). Selain itu, bersahur juga akan mempertingkat kualiti ikhlas dalam ibadat. Sikap buruk amarah akibat perasaan lapar juga akan hilang. Perlu diingat bahawa waktu bersahur juga merupakan detik yang sangat dimakbulkan doa. Dan yang keenam kata Ibnu Hajar lagi, dengan bersahur akan menyebabkan seseorang itu mendapat taufik untuk berdoa dan berzikir kepada Allah". Inilah enam hikmah yang digalur oleh Ibnu Hajar darihal sahur.


Sains perubatan moden juga turut memperakui bahawa amalan bersahur sangat bermanfaat untuk kesihatan tubuh badan.

Sunah Rasulullah SAW yang amat memfokuskan amalan bersahur serta digalakkan melewatkannya telah terbukti begitu signifikan dan bertepatan dengan kaedah saintifik. Ini kerana waktu bersahur relevan dengan waktu bersarapan pagi dan kajian menunjukkan makanan paling utama dalam masa 24 jam ialah makan sarapan pagi.

Kajian yang dilakukan oleh Dr Theresa Nicklas dan rakannya dari Kolej Perubatan Baylor menjalankan uji kaji ke atas 700 pelajar di Louisiana, Amerika Syarikat.

Hasilnya mereka dapati bahawa mereka yang tidak bersarapan pagi menanggung risiko dua kali ganda untuk berhadapan dengan kekurangan zat besi dalam darah yang akan membawa kepada penyakit anemia, iaitu penyakit berkaitan kekurangan hemoglobin dalam darah. Kerry Neville dari Chicago Tribune melaporkan pada 24 September 2001 bahawa secara umumnya golongan yang berpuasa dan mempraktikkan amalan bersahur sangat mujarab untuk mempertingkat mutu kesihatan tubuh badan.

Jadi, jelas di sini bahawa amalan bersahur itu bukan hanya sekadar amalan sunat dan sunah yang berpahala semata-mata. Tetapi di sebaliknya terselindung rahmat dan manfaat untuk kesihatan manusia. Justeru, mengapakah kita masih malas untuk bangun bersahur? Kita perlu juga ingat akan perjalanan sirah Nabi dan para sahabat Baginda yang melewatkan waktu bersahur. Dua perkara sangat utama diamalkan, iaitu segera berbuka apabila masuk waktu berbuka dan melewatkan waktu bersahur.

Ini adalah sunah Nabi SAW. Kata Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni, penulis dan ulama terkemuka Arab Saudi yang juga penulis 'best seller' La Tahzan ada mengatakan: "Seakan-akan sunah Rasulullah SAW memberitahu kita bahawa jarak antara azan Subuh dengan waktu makan sahur itu adalah waktu yang terbaik dan yang demikian orang yang suka mendahulukan makan sahur atau tidak makan sahur langsung itu bertentangan dengan sunah Rasulullah SAW. Meskipun puasanya dianggap sah, tetapi yang lebih utama adalah jika seseorang mahu mengikuti seluruh sunah Rasulullah SAW, sekalipun dalam perkara yang kecil."

Dalam satu riwayat Zaid bin Tsabit menyebut bahawa beliau pernah bersahur bersama Rasulullah SAW.

Kemudian ada orang bertanya kepadanya: "Berapa jarak antara waktu makan sahur dengan azan Subuh?" Jawab Zaid, "Kira-kira sama dengan waktu yang diperlukan seseorang qari untuk membaca 50 ayat" - (Hadis riwayat Bukhari). Jadi, jelas di sini bahawa waktu paling baik dan penuh berkat untuk kita bersahur ialah di kala hampir dengan waktu subuh.

Kita sebagai umat Islam yang mentaati Allah dan Rasul-Nya perlu berusaha mengambil kesempatan untuk melaksanakan amalan bersahur kerana ia adalah antara sunah Rasulullah SAW, juga merupakan antara 'aksesori' atau 'komponen' puasa Ramadan yang dijanjikan ganjaran pahala yang berganda. Di samping kita juga dikurniakan keberkatan yang melimpah ruah oleh Allah.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah


Sumber: Harian Metro

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

12-3-2025 11:33 PM GMT+8 , Processed in 0.123271 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list