Edited by JoyahMengayah at 12-3-2025 05:17 AM
PETALING JAYA – Pendakwah bebas, Ustaz Syed Mohd. Bakri Syed Ishak atau lebih dikenali sebagai PU Syed menegur penerbit drama sensasi, Bidaah iaitu Erma Fatima susulan babak melampau melibatkan karakter alim ulama.
PU Syed menerusi satu hantaran dalam Facebook berkata, adegan atas katil atau dalam kelamin bersangkut-paut dengan agama tidak perlu disensasikan buat tatapan khalayak.
“Plot cerita melampau ditonjolkan apabila melibatkan Islam. Sudah mati idea rasanya para sutradara di Malaysia dalam menghasilkan cerita berkualiti dan patuh syariah.
“Memang wujud ajaran sesat yang menghambakan para pengikutnya, namun saya rasa tak perlukan dipertontonkan kepada khalayak. Apatah lagi adegan atas katil juga dipamerkan seperti video tular dalam media sosial,” katanya.
Syed menyarankan agar Erma selaku orang berpengaruh menghasilkan naskhah-naskhah bersifat patriotik yang memberi kebaikan kepada masyarakat.
“Kementerian yang bertanggungjawab perlu tegas dalam isu ini. Adakah peraturan sekarang sudah semakin longgar,” ujarnya.
Dalam hantaran sama, Syed juga menegur drama satu lagi terbitan Erma Fatima iaitu Keluarga Itu yang dikatakan mempertontonkan babak haruan makan anak atau sumbang mahram.
Terdahulu tular babak dalam Bidaah menyaksikan Vanidah sebagai Ummi Rabiatul yang berbaring di atas katil dilihat menyentuh janggut ketua ajaran sesat, Walid (Faizal) menggunakan kakinya.
Turut mencuri tumpuan drama Keluarga itu apabila penonton sesak dada menghayati watak Iman lakonan Datuk Rosyam Nor yang sanggup mencabul anak perempuannya demi memuaskan nafsu. – KOSMO! ONLINE
|