
Abun berucap semasa MATC Hulu Rajang yang diadakan baru-baru ini.
KUCHING: Semua cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Sarawak mengusulkan agar pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai presiden parti tidak dicabar kali ini.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat yang juga Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak Senator Abun Sui Anyit berkata usul itu bertujuan memastikan Anwar menang tanpa bertanding dan boleh menumpukan perhatian kepada pentadbiran Kerajaan Malaysia sebagai Perdana Menteri.
“Proses pemilihan parti akan dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) diketuai Datuk Seri Dr Zaleha Mustafa selesai Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) diadakan di seluruh negara.
“Pemilihan parti kali ini dijangka meriah apabila ramai anggota parti bakal menawarkan diri untuk menerajui parti dari peringkat Cabang dan Pusat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya dalam pemilihan kali ini, Mesyuarat Khas MPP yang diadakan pada 10 Mac 2025 telah menekankan setiap calon pemilihan parti mematuhi etika dan disiplin pertandingan yang dikuatkuasakan oleh JPP bagi pihak parti.
Ini termasuk mengelakkan fitnah dan serangan peribadi kepada calon-calon lain, ujarnya.
Abun berkata bagi Sarawak, kesemua 31 Cabang parti itu telah berjaya melaksanakan MATC masing-masing yang bermula awal Mac 2025 dan tarikh akhir mesyuarat diadakan pada 9 Mac 2025.
“Semua sayap KADILAN iaitu Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) seluruh Sarawak turut berjaya melaksanakan mesyuarat agung masing-masing pada hari yang sama sebelum Mesyuarat Agung Tahunan Cabang diadakan.
“MATC di Sarawak secara keseluruhannya berjalan dengan lancar, aman dan sempurna,” tambahnya.
Abun berkata MATC 2025 ini turut diadakan di seluruh Malaysia pada tarikh-tarikh yang telah ditetapkan oleh Pejabat Setiausaha Agung KEADILAN diketuai Senator Dr Fuziah Saleh.
Sementara itu semasa MATC Hulu Rajang yang lalu, beliau memberitahu akan menawarkan semula dirinya sebagai calon Ketua Cabang dan menawarkan diri bertanding di peringkat pusat.
“Justeru, saya mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat menyertai pemilihan parti kepada semua anggota KEADILAN seluruh negara baik sebagai calon atau pemilih mahupun pengundi.
|