
KUCHING: Mahkamah Majistret hari ini memerintahkan sepasang suami isteri untuk menjalani bon menjaga keamanan selama enam bulan kerana membuat provokasi terhadap seorang adik lelaki dalam pertikaian mengenai pemilikan rumah.
Majistret Mason Jaro Lenya Barayan mengarahkan Andrew Shim, 70, dan Liaw Sap Phin, 57, dikenakan jaminan RM500 (tidak didepositkan) berserta seorang penjamin tempatan.
Suami isteri tersebut mengangguk faham apabila diperintahkan untuk menyempurnakan bon di bawah Seksyen 67 Kanun Tatacara Jenayah dalam prosiding hari ini.
Berdasarkan fakta kes, Andrew membuat laporan bahawa pada 1 Mac 2025, kira-kira jam 8.30 malam, semasa dia berada di luar pagar rumah di Rock View Estate di sini, adiknya lelakinya telah mengugut Andrew dalam bahasa Inggeris dengan berkata, “If you come in, I slash you.”
Laporan polis dibuat dan adik Andrew ditangkap pada 3 Mac 2025 bagi membantu siasatan.
Hasil siasatan bagaimanapun mendapati rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah berkenaan menunjukkan imej suami isteri terbabit tiba di lokasi dan Andrew keluar dari kereta sambil memegang sebatang objek keras dipercayai alat pemotong besi.
CCTV tersebut turut menunjukkan Andrew masuk ke dalam kawasan berpagar di tempat kejadian dan menunjukkan sikap agresif (provokasi) manakala Liaw telah bertindak merosakkan pagar rumah dengan menolak pagar dengan kuat sehingga pagar terbuka dari luar.
Oleh itu, sebagai langkah menghentikan perbuatan kedua-dua tertuduh dan agar mereka tidak mengulangi perbuatan tersebut, pasangan terbabit diperintahkan untuk menyempurnakan bon menjaga keamanan selama tempoh enam bulan di bawah Seksyen 67 Kanun Tatacara Jenayah.
|