Julaihi berucap pada Sarawak Energy Stakeholders Sungkei 2025 di sebuah hotel di Kuching semalam.
KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUTS) dan Sarawak Energy sedang mengkaji semula Pelan Induk Elektrik Sarawak 2025-2030.
Menurut satu kenyataan pihaknya menerusi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), ia untuk memastikan kemajuan yang berterusan berdasarkan pencapaian MUTS sepanjang sedekad yang lalu.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata, ia bertujuan menyediakan bekalan elektrik 24 jam yang mampan dan dipercayai kepada semua.
“Sarawak Energy selaku agensi pelaksana memain peranan yang penting untuk bersama-sama memastikan projek atau inisiatif dilaksanakan dengan lancar dan menepati masa.
“Ini akan memastikan segala usaha yang dilaksanakan dapat memenuhi keperluan dan permintaan semasa dengan berkesan,” katanya.
Julaihi berkata demikian ketika berucap pada Sarawak Energy Stakeholders Sungkei 2025 di sebuah hotel di sini semalam.
Tambahnya, liputan bekalan elektrik untuk luar bandar kini telah mencapai kemajuan sebanyak 98.6 peratus.
Justeru katanya, MUTS akan terus komited untuk mencapai elektrifikasi penuh di Sarawak dengan pembekalan tenaga yang boleh dipercayai secara menyeluruh ke kawasan luar bandar bagi memperkukuhkan pembangunan ekonomi di negeri ini.