Agama Islam & Muslim
ADVERTISEMENT

tatod Lv.14

Fav
Fighter | Credits 29858   

Sarjana Islam membincangkan perbincangan yang panjang dan meluas berkenaan bentuk perbuatan dan percakapan baginda Nabi SAW. Apa yang perlu diketahui bahawa kebanyakan perbuatan dan pertuturan Nabi SAW adalah bersifat pensyariatan. Perlu diketahui juga, perkataan atau perbuatan baginda Nabi SAW boleh terjadi dalam bentuk baginda sebagai seorang pemimpin. Kita juga sedia maklum apabila berhijrah ke Madinah al-Munawwarah, baginda mengasaskan sebuah negara madani yang meliputi semua jenis bentuk urusan pentadbiran negara seperti pengurusan pentadbiran, diplomasi, pendidikan, kesihatan, perbendaharaan, keagamaan, sosial, kemasyarakatan, peperangan, kekeluargaan, undang-undang jenayah, dan ekonomi.

Semua perkara ini dinukilkan dan diriwayatkan dalam hadis Nabi SAW. Sebahagian daripada ahli hadis mengkhususkan penulisan tentang perkara ini seperti al-Khuzāi (wafat 789h) di dalam kitabnya, al-Takhrīj dan ʻAbd al-Hayy al-Kattani (wafat 1382h) di dalam kitabnya Nizẓām al-HḤukumah al-Nabawiyyah.

Di dalam pentadbiran pemerintahan Islam, pemimpin dipilih berdasarkan keahlian dan kelayakan bukan berdasarkan kroni ataupun apa yang diistilahkan sebagai nepotisme. Perkara ini juga sepertimana pelantikan Khulafa Ar-Rasyidin bermula daripada Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali - radiallahu anhum - semuanya disempurnakan dengan proses syura untuk mendapat suara majoriti daripada ahli syura. Selain daripada itu, jika wujudnya pendakwaan pelantikan Khulafa Ar-Rasyidin berasaskan nepotism, jelas baginda Nabi SAW tidak menyatakan secara terang-terangan siapa yang akan mewarisi tampuk kepemimpinan baginda dengan wasiat ataupun penulisan. Diriwayatkan di dalam sebuah hadis:

"Ketika Nabi SAW sedang dalam keadaan sakit menjelang kewafatannya, baginda bersabda sedangkan di dalam rumah baginda ada beberapa orang lelaki termasuk Umar bin al-Khattab: "Mari, aku akan menuliskan untuk kalian sebuah tulisan yang kalian tidak akan sesat selepasnya. Maka Umar berkata: 'Sesungguhnya Nabi SAW sedang sakit dan di sisi kalian sudah ada al-Quran, maka cukuplah bagi kita Kitab Allah." (Hadis Riwayat Bukhari).

Hikmah daripada kisah ini, Allah SWT inginkan perkara berkenaan berlaku di atas asas syura dan penilaian setiap individu berdasarkan kelayakan. Begitu juga, peristiwa Saqifah Bani Saidah yang berlaku selepas kewafatan Nabi SAW ketika berkumpulnya golongan Muhajirin dan Ansar untuk menentukan siapakah yang layak untuk menjadi khalifah Rasulullah SAW. Golongan Muhajirin bergegas ke Saqīfah Bani Saidah mendapatkan suara majoriti daripada kedua-dua golongan siapakah yang paling layak mengantikan Nabi SAW.

Ketika bermesyuarat Abu Bakar RA berkata:

"Kami (Quraish) adalah pemimpin dan kalian (Ansar) adalah menteri (penasihat), urusan ini adalah antara kami dan kalian. Lalu para sahabat berbaiat (menjadikan Abu Bakar khalifah), dan yang pertama sekali adalah Basyir bin Saad (daripada golongan Ansar)." (Hadis Riwayat Bukhari)

Peristiwa ini sudah cukup membuktikan kaedah pelantikan pemimpin di dalam Islam. Selain itu, kenyataan Abu Bakar: "Kami daripada kalangan pemimpin" menunjukkan kepada golongan Quraish dan Muhajirin yang sudah biasa dalam urusan kepemimpinan kerana tabiat penduduk Makkah yang sudah biasa dalam pengurusan dan kepemimpinan, khususnya pengurusan Masjidil Haram serta pengurusan haji daripada sudut al-siqayah (penyediaan air minum), al-ḥijabah (penjagaan Kaabah), al-rifadah (penyediaan makanan dan bantuan).

Sepertimana yang disebutkan, kita dapati juga bagaimana keahlian golongan Quraish dalam mengelola tampuk pemerintahan dan hikmah pemilihan golongan ini. Perkara ini seperti yang disebutkan oleh Nabi SAW:

"Para pemimpin berasal daripada Quraish." (Hadis Riwayat Ahmad)

Adapun Quraish Makkah golongan yang memiliki hubungan pertalian kekeluargaan dengan Nabi SAW, bahkan semua orang Arab ada hubungan pertalian kekeluargaan dengan baginda. Ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah at-Taubah, ayat 128:

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada kalangan kamu sendiri."

Ibnu Abbas mentafsirkan ayat dengan erti: (Dan sesungguhnya tidak ada satu pun kabilah dalam kalangan orang Arab melainkan mereka mempunyai pertalian kelahiran serta kekerabatan dengan Rasulullah SAW. (Hadis Riwayat Bukhari)

Jika kepemimpinan Nabi SAW berbentuk nepotisme, maka ini melazimi setiap seorang yang menggantikan Nabi SAW daripada bangsa Arab adalah kroni baginda.

Maka perkara ini mustahil, bagaimana mungkin wujudnya dakwaan seperti berikut sedangkan Nabi SAW bersabda:

"Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku potong tangannya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Hadis ini sendiri suatu pengiktirafan daripada baginda bahawasanya tidak ada tolak ansur dalam agama walaupun anak perempuan kesayangan baginda sendiri. Sesungguhnya asas kepada suatu perkara bertunjangkan keadilan, syariat dan keahlian dalam bab kepemimpinan.

Selain itu, dapat dilihat cara pentadbiran Rasulullah SAW daripada pengurusan gabenor dan duta diplomasi yang baginda utuskan.

Golongan ini bukan sahaja terdiri daripada kaum kerabat, bahkan dipilih orang berkelayakan untuk menunaikan tugasan tersebut seperti Ubadah bin al-ṢSamit al-Ansari menjadi duta ke Mesir, Muaz bin Jabal al-Ansari ke Yaman untuk menjadi amil zakat dan hakim
di sana, Abu Musa al-Asyari berasal dari Yaman dijadikan gabenor di Zabid dan Adan, Saad bin Ubadah dan Abu Lubabah al-Ansari menjadi pengganti Nabi SAW di Madinah ketika baginda keluar berperang.

Semua contoh ini sudah cukup membuktikan bagaimana hikmah dan kebijaksanaan Nabi SAW dalam pentadbiran negara. Pemilihan golongan yang disebutkan sesungguhnya berdasarkan keahlian mereka untuk memikul tanggungjawab berkenaan. Dakwaan nepotisme dalam pentadbiran adalah satu dakwaan yang perlu diteliti daripada semua aspek kehidupan baginda Nabi SAW. Hakikat kebenaran memerlukan pemahaman yang mendalam dalam bidang agama khususnya disiplin ilmu sirah, hadis dan politik Islam.


Penulis Felo Penyelidik, Institut Islam Hadhari-UKM

Attachment: You need to Login for download or view attachments. No account yet? Register
3594 Views
0 Reply

No comments yet, click me grab the couch