Edited by Vellfire at 19-3-2025 12:23 PM
Rentap bersama ahli jawatankuasa penganjur menunjukkan poster seminar SELC25 pada sidang media di Plaza Aurora 2 di Kuching hari ini. - Gambar Faisal Ahmad
KUCHING: Seminar Persidangan Literasi Bahasa Inggeris Sarawak 2025 (SELC25) merupakan platform penting yang didedikasikan untuk memajukan literasi dan kecemerlangan pendidikan terutama penggunaan bahasa Inggeris di Sarawak.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu menegaskan SELC25 yang akan berlangsung dari 17 hingga 19 September di Hikmah Exchance di sini akan melibatkan sesi perbincangan, berkongsi amalan terbaik selain meneroka strategi inovatif untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan komuniti masa kini.
"Dalam dunia yang semakin global, celik bahasa Inggeris adalah lebih daripada sekadar alat untuk komunikasi selain pintu masuk kepada peluang lebih besar kepada pencapaian akademik serta pemerkasaan ekonomi.
"Penguasaan bahasa Inggeris membolehkan individu mengakses sumber pengetahuan yang lebih luas, bersaing di pasaran kerja antarabangsa dan melibatkan diri dengan yakin dalam pertukaran silang budaya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media tentang Bengkel SELC25 di BESarawak Office, Plaza Aurora 2 di sini hari ini.
SELC25 adalah anjuran Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Layar serta disokong Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) dan BESarawak.
Tambahnya, di Sarawak yang mana kepelbagaian budaya adalah kekuatan maka penguasaan dalam bahasa Inggeris melengkapkan warisan berbilang bahasa dan membuka pintu kepada rakyat untuk mengambil bahagian sepenuhnya dalam perbualan tempatan dan global.
Cabaran adalah untuk memastikan setiap pelajar tanpa mengira latar belakang atau lokasi mempunyai akses yang sama kepada pendidikan bahasa Inggeris yang berkualiti.
Katanya, sejak tiga tahun lepas, BESarawak telah mengutamakan pendidikan dalam inisiatif penglibatan komunitinya terutama melalui program tanggungjawab sosial dan korporat 'Books Build Legacy' yang didedikasikan untuk menyokong pelajar sekolah luar bandar.
"Dalam usaha kami mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris maka kami harus bermula dari peringkat awal, yakni di sekolah rendah, ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya...justeru kami percaya seminar SELC25 kelak dapat menghimpunkan banyak tenaga pakar guru dari seluruh Sarawak, Sabah dan Semenanjung untuk berkongsi idea, ilmu dan perancangan untuk memperkasakan penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris," katanya.
Tambahnya, usaha itu juga menyumbang kepada celik huruf serta pemikiran kritis yang diperlukan untuk kepimpinan global.
"Acara ini dijangka menarik 1,000 perwakilan termasuk pendidik, pelajar, pemimpin korporat dan pegawai kerajaan," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Layar (LEDC) Paul Langgang menyatakan semangat beliau tentang potensi impak persidangan itu kelak.
"Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Layar sejajar dengan visi Jolly Learning UK, STEM Learning UK dan misi yang lebih luas untuk memperkasa pendidikan, meningkatkan hasil pelajar dan menggalakkan penglibatan komuniti.
"Dengan bekerjasama, kita boleh mengubah cara celik huruf diajar dan STEM menjadikan pembelajaran lebih menarik dan berkesan untuk semua pelajar," katanya.
Dalam pada itu, SELC25 bakal menampilkan tokoh-tokoh terkemuka dalam literasi pendidikan STEM, antaranya Ketua Pengawai Eksekutif Jolly Learning Gilbert Jolly, pengarang bersama Jolly Phonics iaitu Sara Wernham dan pakar pendidikan STEM Sarah Dagnell.
Kesemua mereka akan berkongsi pengalaman luas dalam pembangunan kurikulum dan latihan profesional serta berusaha untuk meningkatkan pendidikan sains rendah.
Seminar SELC25 sejajar dengan visi Sarawak untuk membangunkan tenaga kerja mahir dan separuh mahir terutama dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
"Menyedari bahawa penguasaan bahasa Inggeris adalah penting untuk kejayaan dalam bidang ini, persidangan akan mempelopori perbincangan mengenai strategi pengajaran yang inovatif, pembangunan literasi dan cadangan dasar.
Dengan menyokong matlamat jangka panjang Sarawak untuk melahirkan tenaga kerja yang berdaya saing dan bersedia untuk masa depan, maka SELC25 berfungsi sebagai platform untuk merapatkan halangan bahasa dan meningkatkan standard pendidikan yang akhirnya meletakkan Sarawak sebagai hab pengetahuan, inovasi dan kerjasama global.