Fatimah (tengah) ketika bercakap kepada pemberita di Miri, hari ini. Turut hadir pada sidang media itu ialah (dari kiri) Semawi, Rosey, Tan dan Dr Wong.
MIRI: Tempat Transit Gelandangan (TTG) Miri dijangka beroperasi Julai ini, dengan lokasinya disahkan berada di bekas Stesen TM Angsana Miri (Lot 6, Blok B MCLD) di sini.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah memberitahu, projek TTG Miri itu awalnya berdepan beberapa halangan yang menyebabkan kelewatan namun akhirnya segalanya berjalan lancar.
“Kami dapat mencari tempat yang sesuai dengan kerajaan meluluskan peruntukan untuk menubuhkan TTG Miri,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menyampaikan Borang Endowment Fund Sarawak (EFS) dan Bantuan Ibu Bersalin (BIB) di Hospital Miri, hari ini.
Mengulas keperluan penting TTG Fatimah berkata, kerajaan mahu mengawal jumlah gelandangan melalui kemudahan itu dengan harapan dapat mengurangkan jumlah tersebut selagi mampu.
Pada masa ini katanya, jumlah gelandangan di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri mencecah angka dua digit di setiap tempat.
"Kami tidak mahu jumlahnya melambung sehingga ribuan, sebab itu kami melakukannya sekarang ketika jumlah ini masih kecil," katanya.
TTG jelasnya, adalah konsep di mana kerajaan menyediakan tempat untuk gelandangan berehat dalam persekitaran yang selamat dan bersih.
"Ia juga akan menjadi tempat untuk mereka menjalani pemeriksaan kesihatan, diberi makanan yang baik dan jika mahu kami akan menawarkan latihan kemahiran mengikut keinginan dan keupayaan mereka untuk bekerja bagi menjana pendapatan," tambahnya.
Mengenai badan yang akan mengendalikan pusat itu, Fatimah mengulangi bahawa ia tidak akan dikendalikan oleh kementeriannya, sebaliknya badan bukan kerajaan (NGO) yang sesuai dengan peranan tersebut.
“Kita akan mengiklankan dan menemu bual NGO yang berpotensi untuk melihat sama ada mereka dapat memahami peranan yang diperlukan dan mempunyai semangat serta kesungguhan.
“Isu gelandangan bukanlah satu perkara yang mudah untuk difahami, maka kita amat memerlukan NGO yang penuh belas kasihan dan melayan mereka dengan penuh bermaruah,” tambahnya.
Ditanya mengenai statistik gelandangan di negeri ini Fatimah berkata, jumlah itu semakin berkurangan namun terdapat sedikit peningkatan pada tahun lepas.
Beliau mendedahkan kementeriannya telah menjalankan kajian ringkas mengenai faktor yang menyumbang kepada gelandangan iaitu faktor kemiskinan, isu keluarga terutama melibatkan warga emas, isu mental serta ketagihan alkohol dan penyalahgunaan dadah.
Fatimah menegaskan, terdapat juga keperluan untuk mempunyai TTG dengan tempat yang sesuai berserta pelatih profesional bagi membantu individu dengan berkesan.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Rosey Yunus, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datu Felicia Tan Ya Hua, Pengarah JKM Sarawak Semawi Mohamad dan Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong.