KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima dua kunjungan hormat di Wisma Bapa Malaysia hari ini.
Kunjungan pertama adalah daripada Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia Michael Walsh, bagi membincangkan peluang kerjasama dalam bidang ekonomi dan pendidikan antara New Zealand dan Sarawak.
Ini merupakan kunjungan hormat pertama Walsh terhadap Premier Sarawak sejak beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia pada Januari lalu.
Menurut Walsh, perbincangan tertumpu kepada kepentingan pendidikan dan tenaga, termasuk pelbagai sumber tenaga serta peranannya.
Selain itu, aspek makanan dan minuman turut dibincangkan, dengan penekanan kepada persamaan dan potensi kerjasama antara kedua-dua pihak dalam sektor berkenaan.
Abang Johari (kanan) bersalaman dengan Adam (kiri) semasa kunjungan hormat tengah hari tadi. - Gambar Penerangan
Seterusnya, Abang Johari turut menerima kunjungan hormat daripada delegasi Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang diketuai Ketua Komuniti, Kerjasama Serantau dan Global, Asia Pasifik Shaun Adam.
Kunjungan tersebut bertujuan membincangkan peluang kerjasama antara WEF dan Kerajaan Malaysia, khususnya Sarawak.
“Kami sedang meneliti kemungkinan menubuhkan kluster industri berpotensi di Bintulu serta memahami dengan lebih mendalam inisiatif Sarawak dalam dana peralihan tenaga diperbaharui, terutama dalam bidang hidrogen,” kata Adam ketika ditemui media selepas kunjungan tersebut.
Beliau turut menekankan bahawa Premier Sarawak memberi tumpuan yang tinggi terhadap pembangunan hidrogen hijau dan membincangkan bagaimana Sarawak boleh melengkapi permintaan tenaga global yang semakin meningkat.