Michael menyerahkan kad konsesi kepada pesara, Afandi Nordin sebagai simbolik penerima pertama kad konsesi BAS.MY Kuching.
KUCHING: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak melakukan tinjauan sesi pendaftaran kad konsesi dan pas 30 hari BAS.MY Kuching yang telah mulai dibuka di Open Air Market hari ini.
Tinjauan berkenaan diketuai Pengerusi LPKP Michael Kong dan Pengarahnya Cornelia Wong.
“Perkhidmatan BAS.MY Kuching telah memulakan operasinya pada 5 Mac di Laluan Q10 (Open Air Market - Serian).
“Ia merupakan penjenamaan semula Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti atau Stage Bus Service Transformation (SBST) di bawah inisiatif kerajaan persekutuan yang dilaksanakan secara berfasa sehingga menjelang April 2025,” kata satu kenyataan.
Menurut Pengarah Biaramas Express (Bus Asia) Sdn Bhd Lai Sin Kiong, kaunter pendaftaran di lokasi tersebut dibuka kepada orang ramai dari 8 pagi hingga 12 tengah hari sepanjang bulan ini.
Selepas tempoh tersebut, pemohon boleh membuat pendaftaran di pejabat Bus Asia yang terletak berhadapan dengan lampu isyarat Open Air Market.
Seramai 46 orang pemohon telah berjaya mendaftar pada hari pertama pembukaan kaunter tersebut.
Sementara itu, Kong juga tidak melepaskan peluang untuk mendaftar pas 30 hari BAS.MY Kuching sebagai tanda sokongan.