Operasi pemadaman oleh anggota bomba.-Gambar JBPM Sarawak
BINTULU: Enam kenderaan yang parkir di sebuah kilang industri Taman Perindustrian Samalaju Jalan Pesisir Bintulu-Miri terbakar dan musnah dalam kejadian pada petang Selasa.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu, Wan Kamarudin Wan Ahmad, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 4.35 petang dan menghantar empat anggota serta pegawai termasuk jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju ke lokasi kejadian.
Katanya, setibanya di tempat kejadian didapati enam buah kereta terbakar di tempat letak kereta kilang tersebut.
"Susulan itu komander operasi membuat `size-up' di lokasi dan mengarahkan anggota membentang satu aliran 600 kaki satu nozel ke pili air bomba bertekanan di kilang tersebut untuk memadam kebakaran," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, operasi pemadaman terkawal pada jam 4.55 petang dan seterusnya ditamatkan pada jam 5.30 petang.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian dalam siasatan.