Awg Mohammad Fadillah menandatangani maskot Jom Jimat Air Bersama Komuniti sebagai sebahagian daripada simbolik pelancaran program tersebut. – Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) mengambil langkah proaktif dalam menggalakkan kesedaran dan amalan penjimatan air melalui pelancaran program “Jom Jimat Air Bersama Komuniti”, yang kini diperluas ke seluruh negeri.
Untuk rekod, program ini pada tahun lalu hanya dilaksanakan secara dalaman, kini diperluas kepada komuniti, termasuk pemimpin masyarakat dan para pelajar di seluruh Sarawak.
Pengarah JBALB Sarawak, Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan berkata, program ini bukan sahaja bertujuan mendidik masyarakat tetapi juga sebagai langkah awal ke arah penggunaan air yang lebih cekap dan lestari.
Menurutnya, antara aktiviti yang akan dilaksanakan di bawah program ini termasuk bengkel dan seminar kesedaran air dengan kerjasama pakar-pakar industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang dijadualkan berlangsung sepanjang tahun ini.
Jelas beliau, ia turut membabitkan penyebaran risalah dan bahan pendidikan di sekolah, tempat kerja, dan kawasan perumahan.
Malah, pertandingan kreativiti bertemakan penjimatan air seperti lukisan, video pendek, dan kempen media sosial akan turut diadakan bagi memeriahkan program, katanya.
“Kolaborasi dengan syarikat swasta dan universiti bagi membangunkan penyelesaian inovatif dalam pengurusan air turut dilaksanakan dalam program tersebut,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Air Sedunia 2025 Peringat JBALB Sarawak dan sekaligus melancarkan Program Jom Jimat Air Bersama Komuniti di sebuah hotel di sini pada Selasa.
Beliau turut menekankan bahawa kejayaan program ini bergantung kepada penglibatan aktif semua pihak.
“Usaha ini memerlukan sokongan daripada individu dan keluarga, sekolah serta institusi pendidikan, pemimpin masyarakat, syarikat swasta, media, agensi kerajaan, dan NGO.
“Hanya dengan kerjasama erat, kita dapat membentuk komuniti yang lebih bijak dalam penggunaan air,” tambahnya.
Untuk makluman, antara objektif utama program ini ialah mendidik masyarakat tentang kepentingan penjimatan air dan langkah-langkah mudah yang boleh dilakukan di rumah, sekolah, dan tempat kerja.
Selain itu, ia bermatlamat mengurangkan kadar penggunaan air berlebihan dengan mempromosikan tabiat penggunaan air yang lebih cekap.
Program itu juga bertujuan mengenal pasti punca pembaziran air di kediaman dan premis perniagaan, selain mewujudkan komuniti mesra air bagi menyebarkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.