TERDAPAT lebih 10 bukit di sekitar Jelebu yang selalu menjadi tarikan penggemar aktiviti pendakian, namun jujurnya penulis tidak begitu berminat dengan aktiviti lasak begitu, walaupun sebenarnya ada di antaranya yang sangat dekat dengan rumah.
Bagaimanapun, pelawaan daripada kumpulan pendaki yang menggelarkan diri mereka Pencinta Alam Hikers (PAH), sukar sekali untuk ditolak, pertamanya mereka terlalu kerap mengajak dan keduanya disebabkan bukit yang ingin didaki adalah Bukit Batu Sawa.
Sebelum ini penulis pernah mendaki Bukit Batu Sawa sekitar 2019, namun nasib tidak begitu baik apabila terjatuh dan tergelincir kerana laluan yang basah serta licin, jadi kali ini bukit itu perlu ditawan.
Bukit Batu Sawa dengan ketinggian 333 meter itu sebenarnya tidak begitu mencabar bagi seseorang yang bertaraf profesional, kerana masa yang diambil hanya sekitar kurang 45 minit untuk sampai ke puncak.
Namun bagi mereka yang bertaraf amatur atau baru berjinak-jinak untuk mendaki gunung, masa pendakian boleh mencatatkan sehingga sejam 15 minit.
Di Jelebu, Bukit Batu Sawa adalah antara lokasi tumpuan awam terutama pada hujung minggu. Disebabkan ia tidak terlalu tinggi, ia menjadi lokasi untuk bersantai atau mengeluarkan peluh pada hujung minggu. Namun untuk masuk ke lokasi ini, anda memerlukan permit dan bayaran RM5 dikenakan bagi melakukan aktiviti pendakian.
Mendaki Bukit Batu Sawa tidak sukar kerana laluan permulaannya landai walaupun sedikit berbukit. Selepas bersantai melalui laluan yang mudah, anda perlu bersedia dengan laluan sedikit mencabar menuju puncak sejauh lebih kurang 150 ke 200 meter selain ia bercerun.
Bagaimanapun, bagi mereka yang tidak biasa mendaki (seperti penulis), separuh jalan naik ke puncak sudah cukup memenatkan. Mujur juga sorakan dan kata-kata semangat rakan sependakian menjadi kekuatan untuk kekal melangkah sampai ke puncak. Pagi itu, laluan ke puncak tidak basah atau licin, jadi ia masih dilalui dengan agak mudah.
Kami memulakan pendakian bermula pada jam 9 pagi, justeru tidak berkesempatan untuk melihat 'awan karpet'. Jika mahu menikmati pemandangan indah sebegitu, pendakian seharusnya dibuat seawal jam 6 pagi.
Kebetulan ketika kumpulan kami mendaki, ramai juga pendaki yang sama rancak menuju ke puncak. Hasil perbualan sebahagian mereka bukan penduduk Jelebu sebaliknya datang dari Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Bukit Batu Sawa berada dalam jagaan Jabatan Perhutanan, jadi banyak kemudahan disediakan untuk pendaki, misalnya mereka menyediakan tali sebagai sokongan bagi memudahkan pendakian. Tali itu juga boleh dijadikan tempat berpaut ketika turun sekali gus mengelakkan tergelincir .
Jabatan Perhutanan juga membina beberapa pondok sebagai tempat berehat di beberapa lokasi bagi memudahkan pendaki melepaskan lelah.
Penat lelah pendakian terlerai sebaik saja kami tiba di puncak. Pemandangan alam yang indah dengan deretan pokok berwarna merah, menyebabkan kami tidak lagi terfikir mengenai keletihan pendakian.
Pokok merah yang terdapat di Bukit Batu Sawa dikenali sebagai pokok kelat gelam. Pokok ini mempunyai batang dan daun berwarna merah bata, memberikan pemandangan yang unik dan menarik di kawasan itu.
Warna merah pada pokok kelat gelam disebabkan oleh pigmen semula jadi dalam tisu pokok yang berfungsi sebagai perlindungan terhadap sinaran matahari selain membantu proses fotosintesis. Selain itu, warna merah juga boleh menjadi mekanisme pertahanan pokok untuk menghalang haiwan herbivor.
Berdasarkan cerita orang-orang lama, Bukit Batu Sawa atau disebut juga sebagai Bukit Batu Sawar asalnya dinamakan Bukit Sawin. Di sini, tarikan utama kebanyakan pendaki adalah menikmati kecantikan awam karpet.
Seorang pendaki yang ditemui, Nur Huda Abd Hamid, 44, dari Putrajaya berkata dia teruja untuk mendaki bukit itu selepas dimaklumkan mengenai kecantikan bukit berkenaan. Dia yang pertama kali mendaki Bukit Batu Sawa berkata, mereka bergerak dari Putrajaya usai Subuh.
"Memang pemandangan di puncak bukit terutama daripada pokok merah begitu mengasyikkan. Namun saya terlepas peluang menikmati awan karpet kerana lewat melakukan pendakian, mungkin selepas ini perlu datang lagi," katanya.
Bagi anda yang ingin menikmati keindahan Bukit Batu Sawa, sama ada secara solo atau berkumpulan, boleh saja mendapatkan khidmat PAH. Mereka bukan saja akan menemani pendakian anda, tetapi turut membawa 'makcik kantin', supaya lelah mendaki dibalas dengan secawan kopi panas dan cekodok, menarik bukan?
Sumber:
BH Online